Bukan Sekadar Menulis, Ini Sisi Perjuangan A. Samad Said Yang Mungkin Ramai Tak Tahu

25 Nov 2026 • 11:32 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

syaz ft 98

Pemergian Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said pada 24 November 2026 pastinya meninggalkan kesan kepada dunia kesusasteraan tanah air.

Allahyarham yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Samad bukan sahaja dikenang menerusi karya agung seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi, malah turut dikenali sebagai individu yang lantang menyuarakan pandangan mengenai isu masyarakat.

Di sebalik dunia penulisan yang menjadi sebahagian besar kehidupannya, Pak Samad sebenarnya mempunyai sisi perjuangan yang mungkin tidak diketahui ramai.

Daripada mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sehinggalah terlibat dalam gerakan masyarakat sivil, beliau membuktikan bahawa suara seorang penulis tidak semestinya terhad kepada helaian kertas.

Gunakan karya sastera untuk mengangkat nasib golongan terpinggir

Antara karya paling terkenal Pak Samad ialah novel Salina yang diterbitkan pada 1961.

Namun, novel berkenaan bukan sekadar mengisahkan kehidupan seorang wanita bernama Salina yang terpaksa berdepan kesusahan selepas Perang Dunia Kedua.

1672275

Karya itu turut membawa pembaca menyelami kehidupan masyarakat bawahan yang terkesan dengan kemiskinan, kehilangan dan keadaan sosial selepas perang.

Malah, satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Malay Literature oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2025 turut membincangkan bagaimana Salina menggambarkan penderitaan komuniti bandar yang terpinggir akibat kemiskinan dan kesan sejarah penjajahan.

Ini memperlihatkan bagaimana Pak Samad menggunakan penulisan untuk mengetengahkan kehidupan golongan yang sering terlepas daripada perhatian masyarakat.

Artikel berkaitan: “Sahabat setia saat saya terbungkam di penjara” – PMX Dedah A. Samad Said Antara Punca Kekuatan Ketika Tempoh Detik Sukar

Artikel berkaitan: “Nampak klasik dan gah!” – Netizen Puji PMX Sambut Presiden Perancis Di Bangunan Sultan Abdul Samad

Pernah turun menyertai perjuangan menentang PPSMI

Selain menghasilkan karya sastera, Pak Samad juga pernah terlibat dalam perjuangan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu.

Pada 2008, beliau menyertai gerakan menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Malah, beliau turut menjadi antara tokoh yang menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan dasar berkenaan menerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

46a1e633d9ddc122b170e023d1c5ef7a

Pada Mac 2009, Pak Samad bersama bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Allahyarham Prof Datuk Dr Hassan Ahmad, merupakan antara pemimpin GMP yang berjaya melepasi sekatan polis untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam satu laporan Malaysiakini pada 2009, Pak Samad turut menjelaskan bahawa penglibatannya dalam gerakan tersebut adalah berdasarkan isu yang diperjuangkan, bukannya kerana pihak atau kumpulan politik tertentu.

Beliau pernah menyebut bahawa dirinya tidak boleh terlepas daripada apa yang sedang bergelora berkaitan dasar PPSMI.

Penglibatan itu menunjukkan bahawa keprihatinannya terhadap bahasa Melayu bukan sekadar diterjemahkan melalui karya penulisan, tetapi turut disuarakan menerusi tindakan.

Daripada pemerhati kepada Pengerusi Bersama Bersih 2.0

Satu lagi sisi Pak Samad yang mungkin kurang diketahui ialah penglibatannya dalam gerakan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Pada 18 Januari 2012, beliau dilantik sebagai Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), bergandingan dengan Datuk S. Ambiga.

Ketika mengumumkan pelantikan tersebut, Ambiga menyifatkan penyertaan Pak Samad sebagai sesuatu yang mampu mengukuhkan lagi perjuangan gabungan berkenaan.

Pak Samad sendiri menjelaskan bahawa sebelum itu beliau hanya mengikuti perkembangan dan menyokong Bersih dari luar.

Bersih in 2010

Bagaimanapun, beliau merasakan sudah tiba masanya untuk memberikan sumbangan secara lebih langsung, selain berharap penglibatannya dapat meringankan beban yang ditanggung Ambiga.

Dalam satu temu bual bersama Sinar Harian pada 2020, Pak Samad turut menceritakan dengan lebih lanjut mengenai sebab beliau bersetuju menyertai gerakan berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat ketika Ambiga berdepan kesukaran untuk diterima sebagai pemimpin, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu.

Penglibatannya memperlihatkan bagaimana seorang tokoh sastera turut menggunakan pengaruh dan kedudukannya untuk menyuarakan pandangan dalam isu yang melibatkan masyarakat.

Pernah menggunakan pengaruhnya untuk mempertahankan rakan seperjuangan

Ketika memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Pak Samad juga pernah tampil mempertahankan Ambiga apabila bekas Presiden Majlis Peguam itu berdepan gangguan dan ancaman peribadi.

Menerusi satu kenyataan pada 16 Mei 2012 yang diterbitkan di laman rasmi Bersih, Pak Samad mengutuk tindakan mengganggu Ambiga dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang menyedihkan.

Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan Bersih bukan hanya melibatkan seorang individu, sebaliknya mendapat sokongan pelbagai badan bukan kerajaan dan rakyat Malaysia.

Tindakan itu menunjukkan bahawa penglibatan Pak Samad dalam gerakan tersebut bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sebagai pemimpin, tetapi turut disertai kesediaan untuk menyuarakan pendirian apabila rakan seperjuangannya berdepan tekanan.

Pernah menganggap dirinya tidak boleh berdiam diri terhadap isu yang berlaku

Menariknya, Pak Samad pernah menjelaskan bahawa penglibatannya dalam sesuatu perjuangan tidak semestinya bermaksud beliau menyebelahi parti atau kumpulan politik tertentu.

Dalam laporan Malaysiakini pada 2009, beliau menjelaskan bahawa kehadirannya dalam gerakan membantah PPSMI adalah berdasarkan isu yang diperjuangkan.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa tindakan golongan sasterawan dan aktivis bahasa turun menyertai perhimpunan sebagai sesuatu yang tidak rasional.

Bagi Pak Samad, seseorang penulis juga mempunyai tanggungjawab untuk mengambil tahu tentang perkara yang berlaku di sekelilingnya.

Pandangan itu selari dengan perjalanan hidupnya yang tidak hanya tertumpu kepada penghasilan novel, puisi dan karya kreatif, malah turut melibatkan isu bahasa serta masyarakat.

Legasi yang melangkaui dunia kesusasteraan

Sepanjang hayatnya, Pak Samad telah menghasilkan pelbagai karya yang menjadi sebahagian daripada khazanah kesusasteraan Melayu.

Beliau menerima pengiktirafan sebagai Sasterawan Negara keempat pada 1985 atas sumbangan besarnya dalam dunia kesusasteraan tanah air.

Namun, legasi yang ditinggalkan Allahyarham bukan hanya terletak pada karya yang pernah dihasilkan.

cats 11

Perjalanan hidupnya turut memperlihatkan bagaimana seorang penulis boleh menggunakan bahasa, penulisan dan pengaruh yang dimiliki untuk menyentuh pelbagai persoalan masyarakat.

Pemergian Pak Samad pada usia 91 tahun bukan sahaja meninggalkan kehilangan besar kepada dunia sastera, tetapi juga mengingatkan kita bahawa perjuangan seseorang penulis boleh melangkaui helaian kertas yang pernah ditulisnya.

Sumber: Sinar Harian, Arkib, MalaysiaKini

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved