
PUTRAJAYA - Lebih 3,000 pelarian Myanmar dijangka dihantar pulang ke negara asal dalam masa terdekat selepas kerajaan negara itu bersetuju memudahkan urusan berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, persetujuan itu dicapai susulan lawatan rasmi Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, ke Malaysia pada 7 dan 8 Oktober lalu.
Menurut beliau, lawatan Aung Hlaing turut membuka ruang kepada perbincangan mengenai kepulangan warga Myanmar.
“Insya Allah, lebih 3,000 pelarian Myanmar daripada pelbagai kumpulan etnik akan mula dihantar pulang dalam masa terdekat,” katanya.
Fahmi berkata, kesediaan Myanmar menerima semula rakyatnya itu merupakan satu perkembangan penting dalam usaha diplomatik Malaysia, sekali gus memperlihatkan kejayaan kerajaan mendapatkan kerjasama negara berkenaan bagi melaksanakan proses penghantaran pulang.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini turut menegaskan bahawa Malaysia berjaya mendapatkan persetujuan Myanmar dalam perkara berkenaan, sekali gus menjadikan Malaysia negara pertama di dunia mencapai kejayaan sedemikian.
“Ini satu pencapaian luar biasa kerana seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang berjaya memujuk Myanmar menerima semula pelariannya.
“Segala kos penghantaran pulang ditanggung oleh Myanmar sendiri. Ini satu pencapaian diplomatik yang amat membanggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Oktober 2026 yang turut diadakan bersempena Hari Sukan Negara 2026, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Malaysia menyelesaikan fasa pertama program penghantaran pulang membabitkan 1,476 tahanan Myanmar yang dibawa pulang menggunakan tiga kapal, termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.
Anwar juga sebelum ini dilaporkan berkata, Myanmar bersedia menerima kepulangan rakyatnya secara besar-besaran serta menanggung kos yang berkaitan.
Mengulas lanjut, Fahmi menggesa pihak media supaya terus mengikuti perkembangan usaha berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada pendekatan Malaysia untuk memperkukuh hubungan diplomatik di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menyentuh beberapa perkembangan diplomatik lain, termasuk lawatan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, dan Raja Jordan, Raja Abdullah II, serta inisiatif Global Sumud dalam usaha menyokong rakyat Palestin.
Menurutnya, usaha diplomatik berterusan itu diharap dapat meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa, selain memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan sokongan, termasuk rakyat Palestin.
“Insya Allah, usaha diplomatik ini bukan sahaja dapat memperkukuh kedudukan Malaysia di mata dunia, malah turut membantu kumpulan seperti rakyat Palestin,” katanya. - Getaran, 14 Oktober 2026






