Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Negeri Perak yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya melabuhkan tirainya hari ini dengan pencapaian memberangsangkan apabila merekodkan kehadiran lebih 313, 872 pengunjung, sekali gus melepasi sasaran awal seramai 100,000 orang. Kejayaan ini merupakan kesinambungan momentum PMR 2025 yang sebelum ini berjaya menarik 1.45 juta pengunjung di lapan negeri.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming. Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Fotografi dan Videografi, selain menyempurnakan cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah Perodua Axia.

Sepanjang tiga hari penganjuran, PMR 2026 Perak telah mencatatkan jumlah jualan keseluruhan hampir RM1 juta melalui pelbagai inisiatif seperti Jualan MADANI, Selera Perak, Jualan Usahawan serta jualan sedia ada. Pencapaian ekonomi yang memberangsangkan ini mencerminkan sokongan padu rakyat terhadap usaha berterusan Kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat serta merangsang pertumbuhan ekonomi domestik di peringkat akar umbi.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selaku kementerian peneraju merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khususnya:
- Kerajaan Negeri Perak sebagai tuan rumah yang menyediakan sokongan logistik dan koordinasi yang mantap;
- Kementerian dan Agensi Persekutuan, melibatkan penyertaan sebanyak 34 kementerian/agensi yang turut menyumbang kepada kepelbagaian pengisian program; serta
- Sektor swasta & GLC yang bukan Sahaja menawarkan peluang kerjaya, malah menaja pelbagai hadiah menarik untuk pengunjung.

Bertemakan ‘Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni’, PMR 2026 Perak telah berjaya menyediakan kira-kira 230 perkhidmatan secara langsung (touchpoint) kepada masyarakat terutamanya kepada masyarakat di sekitar Ipoh. Antara pengisian utama yang mendapat sambutan hangat termasuk Karnival Kerjaya yang menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan serta Jualan MADANI dengan potongan harga sehingga 30% bagi barangan keperluan asas.
Kejayaan program ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan dalam memastikan setiap inisiatif nasional memberi impak nyata yang dapat dirasai terus oleh seluruh lapisan Masyarakat.

Menurut YB Nga Kor Ming, “Kejayaan PMR 2026 di Perak ini membuktikan sokongan padu rakyat terhadap Kerajaan MADANI. Kehadiran luar biasa ini menghantar isyarat jelas bahawa rakyat mengharapkan perkhidmatan yang pantas, telus dan inklusif. Kita bukan sekadar membina bandar yang lestari tetapi juga mengangkat martabat rakyat melalui ekonomi yang diperkukuh serta kebajikan yang terpelihara. Inilah inti pati sebenar Malaysia MADANI di mana tiada siapa yang terpinggir daripada arus pembangunan negara”.
Penganjuran PMR 2026 Perak turut membuktikan keberkesanan model kolaborasi rentas sektor dalam mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada nadi rakyat. Kerajaan komited untuk memastikan setiap maklum balas dan interaksi yang diperoleh sepanjang program ini dijadikan asas penambahbaikan mutu perkhidmatan awam pada masa hadapan.



