Tajaan HKHM 2026 meningkat lebih 118 peratus kepada RM48.63 juta

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2026 • 4:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tajaan HKHM 2026 meningkat lebih 118 peratus kepada RM48.63 juta

PUTRAJAYA: Nilai keseluruhan tajaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 yang disahkan setakat ini mencecah RM48.63 juta, meningkat lebih 118 peratus berbanding RM22.3 juta tahun lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah tersebut, RM2.7 juta merupakan sumbangan dalam bentuk wang tunai, manakala RM45.93 juta lagi adalah sumbangan dalam bentuk barangan dan perkhidmatan.

Beliau berkata, berdasarkan keseluruhan nilai tajaan, 50 peratus adalah berbentuk promosi, 30 peratus berbentuk barangan untuk diberikan kepada pengunjung, manakala baki 20 peratus lagi merupakan tajaan kepada jawatankuasa-jawatankuasa yang terlibat dalam penganjuran HKHM 2026.

“Pencapaian ini tentunya tidak akan dapat direalisasikan tanpa kepercayaan, keyakinan dan kesediaan rakan-rakan strategik untuk bersama-sama menjayakan sambutan yang amat bermakna itu.

“Justeru, bagi pihak Kementerian Komunikasi, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua Rakan Strategik HKHM 2026, tanpa mengira besar atau kecil nilai sumbangan yang diberikan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Program Sambutan HKHM 2026 di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 akan dimulakan dengan penganjuran Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 pada 18 Julai di Perak, diikuti Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Putrajaya serta Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Sarawak.

Menurut beliau, sehingga kini Kementerian Komunikasi sudah pun melaksanakan libat urus dengan lebih 350 organisasi, manakala 139 rakan strategik telah menyatakan persetujuan untuk menyumbang bagi menjayakan HKHM 2026, sama ada dalam bentuk wang tunai, barangan mahupun perkhidmatan.

“Semua sumbangan dalam bentuk wang tunai yang diterima akan disalurkan ke dalam Akaun Amanah Sekretariat Merdeka (AASM) dan dibelanjakan untuk persiapan serta pelaksanaan Sambutan HKHM 2026,” katanya.

Tambahnya lagi, sumbangan dalam bentuk barangan dan perkhidmatan pula akan dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi menyokong kelancaran penganjuran program, manakala sebahagian barangan akan diedarkan oleh Pasukan Sukarelawan Kementerian Komunikasi kepada orang ramai yang menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya dan Sambutan Hari Malaysia di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak.

Selain itu, katanya, Kementerian Kewangan (MOF) sekali lagi telah meluluskan sambutan HKHM 2026 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi sebagai projek berkepentingan nasional, berdasarkan peruntuntukan di bawah subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Ini bermakna, selain pelepasan cukai bagi sumbangan tunai, individu dan syarikat yang memberikan sumbangan dalam bentuk in-kind mulai 1 April hingga 16 September boleh membuat tuntutan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat pada tahun taksiran semasa, tertakluk kepada had sebanyak RM15 juta,” katanya. –UTUSAN

The post Tajaan HKHM 2026 meningkat lebih 118 peratus kepada RM48.63 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved