
PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM) 2026 berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menerima jumlah tajaan berjumlah RM48.63 juta, setakat ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jumlah tajaan itu menyaksikan rekod memberangsangkan apabila mencapai peningkatan lebih 118 peratus berbanding tahun lalu iaitu sekitar RM22.3 juta.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.7 juta merupakan sumbangan dalam bentuk wang tunai, manakala RM45.93 juta adalah sumbangan dalam bentuk barangan dan perkhidmatan.
“Berdasarkan keseluruhan nilai tajaan, 50 peratus adalah berbentuk promosi, 30 peratus berbentuk barangan untuk diberikan kepada pengunjung selain baki 20 peratus yang merupakan tajaan kepada jawatankuasa-jawatankuasa terlibat dalam penganjuran HKHM 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik HKHM 2026 di sini, tadi.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Kementerian Kewangan turut meluluskan Sambutan HKHM 2026 anjuran Kementerian Komunikasi sebagai projek berkepentingan nasional berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Ini bermakna, selain pelepasan cukai bagi sumbangan tunai, individu dan syarikat yang memberikan sumbangan dalam bentuk in-kind mulai 1 April hingga 16 September boleh membuat tuntutan potongan cukai sehingga 10 peratus.
“Ia daripada pendapatan agregat pada tahun taksiran semasa tertakluk kepada had sebanyak RM15 juta,” jelasnya.
Kata Fahmi, Kementerian Komunikasi juga akan mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kewangan agar dapat mempertimbangkan kenaikan had pemberian insentif potongan cukai kepada penaja susulan peningkatan tajaan dalam bentuk in-kind. – KOSMO! ONLINE
The post Nilai tajaan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia 2026 cecah RM48.63 juta appeared first on Kosmo Digital.





