Lebih 40 hektar sawah terjejas akibat parit tidak diselenggara

LocalEnvironment
27 Oct 2026 • 4:57 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lebih 40 hektar sawah terjejas akibat parit tidak diselenggara

PARIT BUNTAR – Lebih 40.47 hektar sawah di Kompatmen C di Parit Teluk Pial hingga Parit Abas di Kuala Kurau di sini terjejas akibat air bertakung susulan parit buang yang tidak diselenggara.

Wakil pesawah, Abdul Baharin Mat Desa, 60, berkata, keadaan itu membimbangkan petani berikutan hujan berterusan ketika sebahagian tanaman masih berusia kurang dua minggu.

Menurutnya, parit buang sepanjang kira-kira lima kilometer itu didakwa tidak diselenggara sepenuhnya sehingga menghalang air keluar dari petak sawah, manakala kerja membersihkannya di luar kemampuan petani untuk dilaksanakan secara bergotong-royong.

“Kita faham hujan lebat tidak boleh ditahan tetapi kerja di peringkat bawah perlu dibuat supaya saliran bersih dan air dapat mengalir lancar. Kalau parit diselenggara, masalah air bertakung ini boleh dikurangkan,” katanya kepada pemberita di Parit Teluk Pial di sini hari ini.

Dia berkata, pihaknya sudah menghubungi agensi berkaitan termasuk Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu dan Jabatan Pengairan dan Saliran Kerian bagi mendapatkan bantuan, namun dimaklumkan terdapat kekangan peruntukan untuk melaksanakan kerja berkenaan.

Seorang pesawah, Naim Firdaus Othman 35, berkata, rumput yang tumbuh di dalam parit menghalang aliran air dan menyukarkan usaha mengeringkan petak sawah selepas benih ditabur.

“Di blok kami banyak padi masih muda. Ada yang baru ditabur dua hari dan ada yang belum sampai dua minggu. Kami minta tindakan dipercepat sebelum semuanya tenggelam,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Safuan Arbain, 38, yang berpengalaman kira-kira 15 tahun mengusahakan sawah berharap pemeriksaan saliran dilaksanakan sebelum musim penanaman bermula bagi mengenal pasti masalah lebih awal. – KOSMO! ONLINE

The post Lebih 40 hektar sawah terjejas akibat parit tidak diselenggara appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved