Lebih 400 warga emas meriahkan sambutan raya PAWE Besut

5 May 2026 • 11:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lebih 400 warga emas meriahkan sambutan raya PAWE Besut
Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026 di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Daerah Besut.
Image from: Lebih 400 warga emas meriahkan sambutan raya PAWE Besut
Antara tetamu ke hormat yang hadir memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026 di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Daerah Besut.

​BESUT - Lebih 400 ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Daerah Besut bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berkumpul bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026 di sini.

​Majlis yang berlangsung penuh ukhuwah itu turut dijayakan dengan kerjasama Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia (MPKSM) Cawangan Besut, Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Besut dan Pertubuhan BesutMaju.

​Pengerusi PAWE Besut, Hazmin Mat Yusof berkata, penganjuran rumah terbuka itu bertujuan mengeratkan silaturahim selain memastikan golongan warga emas sentiasa dihargai dan tidak merasa terpinggir ketika musim perayaan.

​Jadi 'Rumah Kedua'

​Menurut beliau, pihaknya berharap PAWE Besut akan terus dikenali penduduk setempat dan menjadi 'rumah kedua' bagi golongan tersebut untuk kekal aktif dan sihat.

**media[3510879]**

​"PAWE ini 'hidup' kerana semangat kebersamaan kita. Tanpa sokongan ahli yang rajin hadir, majlis ini tidak mungkin semeriah ini.

​"Harapan saya agar kemudahan ini digunakan sebaik mungkin dan terus menjadi contoh terbaik kepada PAWE yang lain," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

​Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan BesutMaju, Datuk Mohd Nawawi Ismail; Penasihat Bersama Kumpulan Media Karangkraf merangkap Naib Pengerusi Pertubuhan BesutMaju, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Pengerusi Kluster Pertubuhan BesutMaju, Datuk Mohammad Jusoh dan Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

​Hadir sama wakil daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kesihatan Daerah Besut.

​Bercerita lanjut mengenai sejarah pusat itu, Hazmin berkata, PAWE Besut yang dibuka sejak 2003 kini memfokuskan kepada lima dimensi yang diperkenalkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jelas beliau, ia merangkumi program kerohanian (penuaan positif), kesihatan (penuaan sihat), sosial (penuaan aktif), ekonomi (penuaan produktif) dan persekitaran (penuaan menyokong).

​"Kita juga mempunyai Unit Penyayang Warga Emas yang menyediakan kemudahan pengangkutan bagi membantu ahli yang tinggal bersendirian atau kurang berkemampuan untuk ke pemeriksaan kesihatan atau urusan penting yang lain," katanya.

​Dalam majlis yang dijalankan secara konsep 'potluck' itu, PAWE Besut turut mengambil kesempatan meraikan tiga individu yang banyak berjasa dalam menaikkan nama pusat tersebut.

​Antara diraikan ialah mantan Pengerusi PAWE Besut, Haji Ahmad Zawawi Mat Junoh; mantan Penyelaras JKM PAWE Besut, Norshahida Mohd Sakri serta mantan Penyelia PAWE Besut, Juraida Aziz.

​Majlis berakhir dengan harapan agar semua ahli terus memanfaatkan program yang disediakan bagi memastikan warga emas di daerah Besut terus berbakti dan produktif.