
TAWAU: Kira-kira 5,578 pengguna air di sini terjejas susulan penutupan sementara Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Apas Balung 1 dan 2, LRA Utara serta LRA Cinta Mata akibat banjir di daerah ini, pada Sabtu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata operasi LRA Apas Balung 1 dan 2 terpaksa dihentikan sementara selepas kawasan loji ditenggelami air sepenuhnya yang mengakibatkan kerosakan kepada kemudahan serta komponen utama mekanikal dan elektrikal.
Menurutnya, pasukan operasi dan teknikal Jabatan Air Bahagian Tawau sedang melaksanakan pemeriksaan menyeluruh, kerja-kerja pembersihan loji serta pembaikan komponen yang terjejas bagi memastikan operasi LRA Apas Balung 1 dan 2 dapat dioperasikan semula dengan selamat.
Dr Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabahm berkata LRA Utara dan LRA Cinta Mata sudah kembali beroperasi serta pengeluaran air terawat sedang ditingkatkan secara berperingkat bagi membantu menstabilkan bekalan air kepada pengguna.
Katanya, Jabatan Air Bahagian Tawau turut mengaktifkan pelan mitigasi sementara termasuk penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki air ke kawasan-kawasan terjejas untuk mengurangkan impak gangguan bekalan.
Beliau berkata Jabatan Air Sabah mengambil maklum dan memahami kesulitan pengguna akibat gangguan bekalan terbabit dan sedang melaksanakan pelbagai tindakan bagi memulihkan bekalan air secepat mungkin.
“Segala usaha sedang dipergiatkan bagi mempercepatkan proses pemulihan dan memastikan sistem bekalan air dapat distabilkan dengan kadar segera,” katanya.



