
Oleh Mohd Ramazan Samaron
HULU SELANGOR, 3 JUN: Seramai 500 peserta dari 14 negara menyertai Hulu Selangor Adventure Challenge (HSAC) dan Hulu Selangor Ultra Trail (HSUT) 2025 anjuran Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) yang berlangsung tiga hari sejak 30 Mei lalu.
Yang Dipertua MPHS Julaihah Jamaludin berkata acara dengan kerjasama Pinnacle Sports bertujuan mengukuhkan kedudukan daerah ini sebagai destinasi eko-pelancongan dan sukan ekstrem bertaraf antarabangsa.

“Setiap kali kita anjurkan program seperti ini, kita pastikan komuniti setempat turut terlibat. Laluan acara melalui kawasan perkampungan Orang Asli, dan peserta dapat berinteraksi terus dengan penduduk tempatan.
“Selain itu, industri makanan, homestay dan produk komuniti turut mendapat manfaat langsung,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah HSAC dan HSUT 2025, kelmarin.

MPHS turut menjalankan kaji selidik ke atas peserta bagi mengenal pasti corak perbelanjaan termasuk lokasi penginapan dan makan, sebagai asas penilaian impak ekonomi secara menyeluruh.
Menurut Julaihah, program seperti ini adalah platform strategik untuk menjadikan Hulu Selangor sebagai destinasi sukan lasak dan pelancongan berasaskan alam semula jadi di peringkat antarabangsa.

The post Lebih 500 peserta dari 14 negara sertai dua sukan ekstrem di Hulu Selangor appeared first on Selangorkini.
