Lebih 6,000 pembayar cukai betulkan rekod e-Invois menerusi program pengakuan sukarela - LHDN

LocalBusiness & Finance
6 Nov 2026 • 3:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lebih 6,000 pembayar cukai betulkan rekod e-Invois menerusi program pengakuan sukarela - LHDN Image from: Lebih 6,000 pembayar cukai betulkan rekod e-Invois menerusi program pengakuan sukarela - LHDN amree06/11/2026 - 15:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov – Lebih 6,000 pembayar cukai tampil membetulkan rekod transaksi e-Invois melalui Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang membolehkan kesilapan diperbetulkan tanpa dikenakan penalti atau audit pematuhan, tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan.

 

Pengarah Bahagian e-Invois (Sektor Operasi Cukai) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Dr Rasyidah Che Rosli berkata, program yang sudah bermula sejak 7 Julai 2026 itu memberi peluang kepada perniagaan menyemak dan mengemas kini rekod transaksi terdahulu.

 

Tambah beliau, program berkenaan akan berlangsung sehingga 31 Disember 2027, sekali gus memberi ruang luas kepada pembayar cukai dapat memperbetulkan segera segala isu ketidaktepatan rekod sebelum pelaksanaan fasa terakhir sistem e-Invois sepenuhnya.

 

"Pembetulan tersebut namun masih lagi perlu mematuhi garis panduan ditetapkan dengan menggunakan format versi 1.2 atau 1.3 bagi membezakan rekod yang pernah dipinda daripada transaksi baharu," tegas beliau dalam program bual bicara menerusi stesen televisyen.

 

Rasyidah bagaimanapun berpandangan, jumlah ribuan pembayar cukai yang tampil menyertai PKPS itu tidak bermakna semua transaksi mereka memang mempunyai kesilapan, sebaliknya hanya transaksi tertentu yang kemungkinan memerlukan pembetulan maklumat.

 

Beliau berkata, pembayar cukai tidak perlu bimbang terhadap tindakan penguatkuasaan sekiranya membuat pembetulan secara sukarela dalam tempoh ditetapkan LHDN serta mematuhi garis panduan program kerana tiada penalti atau audit pematuhan akan dikenakan.

 

LHDN_DagangNews2026

 

Program itu meliputi tiga kategori, iaitu transaksi tidak direkodkan akibat kurang pemahaman atau keterbatasan sistem ketika peringkat awal pelaksanaan, pembetulan kesilapan rekod sedia ada serta perniagaan yang diwajibkan e-Invois tetapi belum mengeluarkan sebarang e-Invois.

 

"Dalam perkembangan yang berkaitan, pihak LHDN pada masa sama sudah menerima sebanyak 2.16 bilion e-Invois secara masa nyata daripada lebih 270,000 pembayar cukai di seluruh negara sejak sistem tersebut diperkenalkan pada 1 Ogos 2024," jelas Rasyidah lagi.

 

Ujar beliau, agensi berkenaan turut menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin bagi menganalisis profil pembayar cukai tersebut, mengenal pasti corak transaksi yang pernah dilaksanakan serta menilai potensi risiko ketidakpatuhan cukai.

 

Beliau menambah, analisis data berkenaan turut dilengkapi dengan pendekatan 'nudging' menerusi peringatan mesra bagi menggalakkan pembayar cukai tersebut dapat memenuhi tanggungjawab percukaian mereka secara sukarela.

 

Menerusi pendekatan itu, lebih 97,000 pembayar cukai tampil mengemukakan borang nyata cukai secara sukarela, melibatkan jumlah cukai sebanyak RM1.6 bilion, manakala LHDN terus menyediakan khidmat nasihat dan sesi libat urus bagi membantu kelancaran pelaksanaan sistem e-Invois. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved