amree13/10/2026 - 09:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt — Malaysia tidak perlu terperangkap dalam perdebatan mengenai pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan kutipan hasil daripada sistem percukaian sedia ada.
Penasihat Kanan Dasar Cukai KPMG Malaysia, Dr Veerinderjeet Singh berkata, negara ini sudah mempunyai pelbagai instrumen percukaian yang relevan, namun cabaran utamanya adalah memastikan setiap cukai dapat berfungsi secara berkesan dan menjana hasil seperti yang disasarkan.
Menurut beliau, keutamaan kerajaan menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seharusnya meliputi usaha bagi meningkatkan lagi kutipan cukai pendapatan, SST serta pelbagai duti, berbanding hanya memperkenalkan banyak jenis cukai baharu kepada rakyat.
"Kami turut berpandangan usaha memasukkan elemen GST ke dalam kerangka SST sedia ada berdepan kesukaran besar, khususnya kerana undang-undang SST tidak menyediakan peruntukan bagi mekanisme cukai input-output seperti yang diamalkan di bawah GST," katanya.
Veerinderjeet menyatakan demikian ketika menyertai dalam sesi panel bertajuk 'Post-Budget 2027 Debate' anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia, di ibu negara.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa kedua-dua sistem mempunyai perbezaan penting dari segi invois cukai, mekanisme tuntutan cukai input terhadap cukai output serta proses pembayaran balik cukai.

Dari segi invois, pelaksanaan e-invois dilihat berupaya menggantikan fungsi invois cukai yang digunakan di bawah sistem GST. Bagaimanapun, mekanisme cukai input-output kekal sebagai cabaran utama kerana tiada peruntukan perundangan di bawah SST yang membolehkannya dilaksanakan.
"Bagi pembayaran balik cukai pula, sistem cukai jualan sedia ada mempunyai mekanisme tertentu yang membolehkan perniagaan layak memohon bayaran balik atau tuntutan semula duti, tertakluk kepada objektif dan syarat yang ditetapkan," kata Veerinderjeet.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa penambahbaikan sistem percukaian perlu memberi perhatian kepada keupayaan agensi pemungut hasil, khususnya LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Menurutnya, LHDN mempunyai akses kepada pelbagai kemudahan seperti analisis data, teknologi dan kepakaran saintis data bagi meningkatkan kutipan cukai, namun keberkesanan serta kecekapan penggunaan sumber berkenaan perlu terus diberi perhatian.
Ujar Veerinderjeet, usaha mengoptimumkan kutipan hasil daripada sistem sedia ada wajar menjadi keutamaan bagi memperkukuh kedudukan hasil negara, tanpa bergantung semata-mata kepada perdebatan mengenai pemilihan antara SST dengan GST. - DagangNews.com





