
KUALA LUMPUR – Lebih 6,500 kandungan berkaitan penjualan dadah secara haram dalam talian telah diturunkan daripada platform media sosial sepanjang tahun ini.
Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Eneng Faridah Iskandar berkata, ia susulan lebih 7,000 permohonan penurunan kandungan telah dikemukakan kepada pengendali platform media sosial.
Eneng Faridah berkata, tindakan MCMC dibuat berdasarkan aduan, maklumat yang diperoleh serta hasil pemantauan terhadap kandungan tidak wajar dalam talian.
“Apabila kita menerima aduan ataupun melalui maklumat yang kita perolehi, kita akan maklumkan kepada platform untuk diturunkan kandungan tersebut.
“Setakat ini, purata kadar penurunan kandungan secara keseluruhan adalah 93 peratus,” katanya ketika ditemui pada M360 ASEAN, di sini hari ini.
Difahamkan, kadar pematuhan pengendali platform untuk menurunkan kandungan berkaitan narkotik ialah 100 peratus bagi Telegram, TikTok mencapai 99 peratus manakala Facebook hanya 92 peratus.
Eneng Faridah berkata, tindakan berkenaan tidak terhad kepada platform yang berlesen sahaja, sebaliknya turut melibatkan platform media sosial lain.
“Mungkin banyak lagi yang tidak dilaporkan ataupun pengguna pun kalau tengok pun mungkin dia tak akan laporkan atau dia tak tahu pun. Itu merupakan satu perkara yang salah dari segi undang-undang,” ujarnya.
Beliau berkata, penjualan dadah dalam talian juga bukan sesuatu yang dilakukan secara terang-terangan, sebaliknya mungkin menggunakan istilah, takrifan atau kaedah tertentu yang hanya difahami penjual dan pembeli.
Beliau berkata, usaha membanteras penjualan dadah dalam talian memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk polis dan syarikat kurier kerana kegiatan itu melibatkan keseluruhan rantaian daripada penjual sehingga pengguna.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan platform media sosial dan e-dagang berhubung penjualan dadah.- KOSMO! ONLINE
The post Lebih 6,500 kandungan penjualan dadah dalam talian diturunkan – MCMC appeared first on Kosmo Online.





