
KUALA LUMPUR: Platform media sosial dan dagangan dalam talian digesa mengambil tindakan lebih proaktif bagi membendung penjualan dadah secara haram, bukan hanya menunggu laporan daripada pihak berkuasa.
Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Eneng Faridah Iskandar berkata, pendekatan sekadar melaporkan kandungan untuk diturunkan tidak memadai sekiranya platform tidak mengambil langkah pencegahan sendiri.
Beliau berkata, tanggungjawab platform kini semakin penting menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang menggariskan sembilan kemudaratan, termasuk penjualan dadah dalam talian.
Katanya, platform juga perlu memperincikan tindakan yang diambil bagi memastikan kandungan berkenaan tidak dapat diakses pengguna di negara ini menerusi pelan keselamatan dalam talian masing-masing.
“Kita (MCMC) sebenarnya menuntut supaya platform ini turut tampil dan membuat sesuatu yang lebih serius.
“kita (MCMC) boleh melaporkan, (namun) selagi platform tidak bertindak secara proaktif, maka kita seperti ‘kalah dalam pertarungan’, sebab dia (penjualan dadah dalam talian) akan muncul semula,” katanya ditemui pada M360 ASEAN, di sini hari ini
Eneng Faridah berkata, platform yang dilesenkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian mempunyai teknologi yang canggih dan sewajarnya mampu mengambil langkah lebih berkesan.
“Mereka perlu memperincikan apa tindakan yang mereka telah ambil untuk memastikan bahawa kesembilan kandungan yang mengutarakan, termasuk kandungan yang menjual dadah, mereka sekat daripada dapat diakses oleh pengguna di negara kita,” katanya.
Beliau berkata, MCMC akan terus menjalankan tanggungjawabnya melaporkan kandungan tidak wajar kepada platform untuk diturunkan, namun usaha itu perlu disokong tindakan proaktif pengendali platform.
Katanya, kerjasama media dan rakyat juga diperlukan bagi memastikan platform dipertanggungjawabkan dalam menangani kandungan yang boleh memudaratkan pengguna.
Penasihat Kanan Operasi MCMC, Datuk Zulkarnain Mohd. Yassin pula berkata, kerjasama antara kerajaan dan platform adalah penting dalam memastikan kandungan yang menyalahi undang-undang dapat ditangani dengan berkesan.
“Daripada 7,133 permintaan berkaitan kandungan narkotik untuk tindakan platform, kadar pematuhan yang dicatatkan Facebook adalah sebanyak 92 peratus, TikTok (99 peratus) manakala, Telegram mencapai 100 peratus,” katanya.
Menurut beliau, mekanisme penguatkuasaan perlu disokong oleh tahap perkhidmatan atau tempoh tindakan yang jelas bagi memastikan semua platform melaksanakan tanggungjawab secara konsisten.
“Kerajaan boleh membuat permintaan, tetapi jika tiada tindakan atau kadar pematuhan yang mencukupi, keseimbangan dalam ekosistem digital tidak akan tercapai,” katanya.
Zulkarnain berkata, kepercayaan pengguna merupakan elemen penting dalam ekonomi digital kerana pengguna akan meninggalkan sesuatu platform sekiranya mereka merasakan persekitaran berkenaan tidak selamat atau tidak boleh dipercayai.- UTUSAN
The post MCMC gesa platform media sosial lebih proaktif bendung jualan dadah `online’ appeared first on Utusan Malaysia.






