Lebih 6,900 wanita Sabah dibantu melalui program keusahawanan

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 5:12 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lebih 6,900 wanita Sabah dibantu melalui program keusahawanan

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh usaha melindungi hak dan kesejahteraan wanita khususnya melalui program literasi undang-undang yang menyasarkan golongan wanita di kawasan luar bandar.

Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Julita Majungki berkata program berkenaan penting bagi memastikan wanita terutama di luar bandar mengetahui hak mereka serta saluran yang boleh digunakan untuk mendapatkan perlindungan.

Beliau menyatakan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) menyediakan perkhidmatan berkenaan menerusi Pusat Bantuan Guaman Wanita (PBGW).

“Sebanyak 889 kes dikendalikan pusat itu dari 2018 hingga Julai 2026 manakala 1,237 klien menerima perkhidmatan membabitkan 1,625 kes.

“Wanita yang berdaya ialah mereka yang mengetahui hak sendiri, yakin dengan keupayaan dan sedar bahawa mereka tidak perlu menghadapi masalah bersendirian.

“Justeru bantuan guaman, literasi undang-undang, sokongan emosi dan jaringan strategik akan terus diperkukuh,” katanya.

Dalam aspek pemerkasaan ekonomi wanita pula Julita berkata Jhewa membantu 6,952 wanita di seluruh Sabah menerusi program keusahawanan antara 2022 hingga 2026.

Menurutnya program berkenaan merangkumi latihan kemahiran, promosi dan pemasaran produk, bantuan peralatan, geran pembungkusan serta pelabelan dan pelbagai bengkel keusahawanan.

Tambahnya komitmen itu turut disokong menerusi peruntukan RM8.24 juta kepada Jhewa di bawah Belanjawan Negeri Sabah.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta Kerajaan Negeri atas sokongan berterusan bagi memastikan agenda pembangunan wanita terus diperkasakan.

Julita turut menekankan peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan 215 NGO berdaftar di bawah Jhewa.

Dari 2025 hingga 2026 katanya Jhewa melaksanakan 124 program kerjasama bersama NGO manakala Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta pada 2025 bagi menyokong program yang memberi impak kepada pembangunan, termasuk inisiatif pemerkasaan NGO wanita.

Ujarnya Kementerian Pembangunan Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat (MPWS) turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh agenda pembangunan dan pemerkasaan wanita negeri dengan menyediakan pandangan serta cadangan bagi memastikan dasar dan program kekal inklusif serta responsif terhadap keperluan semasa.

“Beberapa inisiatif turut diperkenalkan bagi memperkukuh kepimpinan wanita, termasuk Sabah Women’s Lab dan GLOW@Sabah – Global Women Leaders of Sabah yang memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu kepimpinan, pendidikan dan ekonomi.

“Inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Razak School of Government, North Borneo University (NBU), Agrobank dan Bank Rakyat,” katanya.

Sementara itu Akademi Kepimpinan Wanita Sabah (Akwan) yang diberi penekanan bersama oleh MPWS dan Jhewa telah dilaksanakan dalam tiga kohort membabitkan 1,215 peserta.

Akwan memberi tumpuan kepada pembangunan pemimpin wanita akar umbi, golongan muda, politik serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerusi tahap asas, pertengahan dan lanjutan.

Sejak pensijilan diperkenalkan pada 2023 seramai 379 peserta berjaya memperoleh pensijilan.

Julita turut menggesa kerajaan, sektor swasta, NGO dan masyarakat bekerjasama mewujudkan ekosistem yang memberi lebih banyak peluang kepada wanita untuk terus maju.

“Kepada semua wanita di Sabah jangan sesekali meragui keupayaan anda. Jangan takut untuk bermimpi besar, jangan takut mencuba dan jangan pernah menganggap diri terlalu kecil untuk membawa perubahan.

“Marilah kita terus mengangkat martabat wanita, memperkukuh keluarga, memperkasa komuniti dan membina Sabah yang lebih makmur, inklusif serta berdaya saing,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved