
PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan sekiranya tidak sempat untuk dibentangkan pada persidangan Parlimen Oktober ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya menyasarkan RUU berkenaan dibentangkan tahun ini, namun proses itu berdepan kelewatan berikutan beberapa perkara baharu yang mahu dimasukkan hasil sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan negeri.
“Memang garis masa kita adalah tahun ini. Tetapi kami diberitahu disebabkan perkara baharu, apabila kita adakan libat urus itu, banyak perkara baharu yang nak dimasukkan.
“Dan kita pun setuju supaya ia dimasukkan sebagai pindaan terhadap kerajaan kita. Jadi, sebab kita ada libat urus dengan NGO dan negeri-negeri juga, ia boleh melambatkan proses kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan 80 tahun Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini, hari ini.
Menurut beliau, draf RUU berkenaan bagaimanapun sudah disediakan dan kementerian kini hanya perlu melalui proses seterusnya termasuk mendapatkan penelitian daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Beliau berkata, pihaknya masih berharap RUU berkenaan dapat dibentangkan tahun ini sekiranya terdapat perkembangan yang membolehkan proses itu dipercepatkan. – UTUSAN
The post RUU Warga Emas dibentang tahun depan appeared first on Utusan Malaysia.






