Lebih 60,000 penumpang bukti keyakinan awal pengguna terhadap LRT3 Shah Alam

1 Jul 2026 • 10:47 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Lebih 60,000 penumpang bukti keyakinan awal pengguna terhadap LRT3 Shah Alam

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Sambutan luar jangka terhadap pembukaan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam apabila lebih 60,000 perjalanan direkodkan pada hari pertama operasinya semalam, sekali gus memberi isyarat positif terhadap permintaan pengangkutan awam di koridor barat Lembah Klang.

Daripada keseluruhan 62,184 perjalanan yang direkodkan, sebanyak 58,865 melibatkan perkhidmatan tren, manakala baki 3,319 perjalanan menggunakan rangkaian first-last mile Rapid KL, terdiri daripada 1,883 perjalanan melalui bas perantara dan 1,436 lagi menerusi perkhidmatan Rapid KL On-Demand (ROD).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan berkata, jumlah perjalanan yang dicatatkan pada hari pertama operasi membuktikan masyarakat menyambut baik kehadiran laluan baharu yang menghubungkan Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.

“Lebih 60,000 perjalanan pada hari pertama menunjukkan bahawa masyarakat memerlukan pilihan pengangkutan awam yang lebih baik di koridor barat Lembah Klang.

“Ini merupakan permulaan yang amat memberangsangkan. Kami akan terus memantau corak perjalanan penumpang, prestasi operasi serta maklum balas pengguna bagi memastikan pengalaman perjalanan terus dipertingkatkan apabila semakin ramai mula menggunakan laluan ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, pencapaian itu mencerminkan keyakinan awal pengguna terhadap rangkaian rel baharu yang bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan antara bandar utama, malah melengkapkan sistem pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang.

Bagi memastikan kelancaran operasi, Rapid KL menempatkan petugas operasi, pegawai stesen dan Rapid Troopers di semua stesen Laluan Shah Alam bagi membantu pengguna mendapatkan maklumat perjalanan serta memudahkan pertukaran ke perkhidmatan bas perantara dan ROD.

Sementara itu, orang ramai masih boleh menikmati tambang percuma bagi semua perjalanan menggunakan Laluan Shah Alam serta bas perantara di sepanjang jajaran laluan berkenaan sehingga 31 Julai ini.

Inisiatif tersebut dijangka menggalakkan lebih ramai pengguna mencuba rangkaian LRT3 selain merasai pengalaman perjalanan yang lebih mudah, pantas dan bersepadu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved