Kemudahan tandas awam di Little India, Ipoh kini dinaik taraf menerusi pembinaan tandas baharu bernilai RM200,000, sekali gus menjadi tandas awam ke-12,000 di bawah inisiatif Kerajaan MADANI.
BMW bernilai RM200,000
Menerusi kenyataan di media sosial, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata projek tandas awam bertaraf bersih, menawan dan wangi (BMW) bernilai RM200,000 itu, berjaya menamatkan penantian lebih tujuh dekad warga peniaga dan masyarakat setempat berikutan ketiadaan kemudahan berkenaan sejak hampir 100 tahun kewujudan kawasan itu.
“Sangat istimewa, ia merupakan tandas awam ke-12,000 yang telah berjaya dinaik taraf di bawah Kerajaan MADANI. Tak pernah ada kerajaan pernah bina dan naik taraf 12,000 tandas awam,” ujarnya.
Nga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang turut mengumumkan sumbangan RM20,000 kepada Persatuan Peniaga-Peniaga Little India Ipoh bagi membantu persiapan serta menceriakan kawasan itu sempena sambutan Deepavali.
Kemudahan tersebut siap pada masanya untuk keselesaan pengunjung yang bakal menyaksikan persembahan kebudayaan dan muzik selama empat malam berturut-turut, dari 3 hingga 6 November ini.
Dalam perkembangan sama, Nga memaklumkan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperluas penyertaan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam Anugerah Tandas Terbaik Malaysia pada edisi akan datang, susulan kejayaan menaik taraf 1,530 tandas awam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau turut berkata konsep tandas pintar enam bintang, BMW Intelligent (BMW-i), bakal diperkenalkan di beberapa lokasi strategik termasuk Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan Floria Putrajaya, selepas kejayaan projek perintis di Dataran Putra, Putrajaya.
Sebelum ini, KPKT menyasarkan setiap ibu negeri di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya sebuah tandas pintar BMW-i, dengan kos pembinaan tidak melebihi RM1 juta bagi setiap kemudahan.
Sumber: Facebook Nga Kor Ming






