TAPAH - Polis telah mengambil keterangan daripada beberapa individu termasuk suami kepada pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, bagi membantu siasatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintenden Mohd Fadzil Ismail berkata, setakat ini seramai enam malim gunung yang terlibat dalam ekspedisi dan operasi pencarian tersebut telah dipanggil bagi dirakam keterangan.
Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah untuk menemukan mangsa terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
“Setakat ini, laporan polis telah dibuat dan kita telah memanggil beberapa individu termasuk suami mangsa untuk mendapatkan maklumat.
“Kita tidak mahu campur aduk perkara lain buat masa ini, sebaliknya fokus utama adalah untuk mengesan mangsa terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Kawalan Bomba di Surau At-Taqwa Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh di sini pada Khamis.
Beliau berkata, keadaan keluarga mangsa kini berada dalam tekanan dan semua pihak diharap memberi ruang kepada mereka sepanjang operasi dijalankan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pasukan SAR bermalam di puncak, operasi jejak Jaslinda dipergiat
Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda mungkin tersasar, pencarian diteruskan
Dalam pada itu, Mohd Fadzil memaklumkan, seramai 92 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perhutanan serta malim gunung.
Katanya, selain udara, fokus operasi digerakkan melalui laluan darat iaitu dari Pos Musuh dan Pos Kuala Woh melibatkan pasukan kumpulan terdiri daripada tiga hingga empat anggota termasuk malim gunung yang mahir dengan keadaan muka bumi di kawasan berkenaan.
“Kita mengharapkan perkembangan positif dalam tempoh satu hingga dua hari ini hasil kerjasama semua agensi terlibat untuk menemukan mangsa dalam keadaan selamat,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, suami mangsa, Haszman Othman, 61, meluahkan rasa terkilan dan mempersoalkan bagaimana isterinya boleh ditinggalkan bersama seorang sahaja malim dan seorang lagi pendaki yang sakit di atas gunung berkenaan.
Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi, Ahad lalu.






