
PETALING JAYA – Lebih 8,000 peluang pekerjaan daripada 200 majikan bakal ditawarkan kepada graduan dan pencari kerja menerusi National Graduate Career Fair 2026 yang akan berlangsung pada 3 dan 4 Oktober ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Karnival kerjaya berskala nasional itu juga menyediakan ruang kepada graduan untuk bertemu dan berinteraksi secara terus dengan majikan, meneroka bidang kerjaya bersesuaian serta mendapatkan panduan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam satu kenyataan berkata, antara majikan utama yang mengambil bahagian ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Selain itu, karnival kerjaya berkenaan turut mendapat sokongan daripada Malaysia Airports Holdings Berhad, Prasarana Malaysia Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang turut sama menawarkan pekerjaan kepada pengunjung.
“Peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai sektor dan tahap kemahiran, termasuk bidang maklumat dan komunikasi, kewangan, pembuatan, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal, pengangkutan dan penyimpanan serta kesihatan dan kerja sosial.
“Lebih menarik, lebih separuh atau 52.91 peratus daripada keseluruhan kekosongan yang ditawarkan menyediakan gaji melebihi RM3,000 sebulan, termasuk jawatan Eksekutif Akaun dengan gaji bermula sekitar RM3,000, manakala tawaran bagi jawatan tertentu seperti pengurus IT mencecah sehingga RM17,000 sebulan,” katanya.
Dibuka bermula 9.00 pagi hingga 4.30 petang, peserta turut boleh mendapatkan semakan resume profesional dan khidmat kaunseling kerjaya bagi membantu mereka mengenal pasti kekuatan, memperkemas strategi pencarian kerja serta membuat persediaan yang lebih baik sebelum berhadapan dengan majikan.
Graduan serta pencari kerja yang berminat boleh membuat pendaftaran menerusi portal MYFutureJobs di www.myfuturejobs.gov.my/careerfair dan maklumat lanjut mengenai National Graduate Career Fair 2026 turut boleh diperoleh menerusi portal berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Lebih 8,000 peluang pekerjaan di National Graduate Career Fair 2026 appeared first on Kosmo Online.






