johardy30/09/2026 - 09:13 Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Sept - Dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM11.2 bilion pada separuh pertama 2026, Sarawak mahu memastikan lebih banyak nilai ekonomi daripada pelaburan berkenaan dapat dinikmati syarikat tempatan dalam fasa pembangunan seterusnya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tumpuan negeri itu perlu melangkaui usaha menarik pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) dengan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Sarawak untuk menyertai rantaian bekalan yang terhasil daripada pelaburan tersebut.
Beliau berkata, syarikat Sarawak perlu dibantu untuk berkembang melangkaui peranan sedia ada dan akhirnya menjadi penyedia penyelesaian serta rakan teknologi yang mampu bersaing di pasaran serantau dan global.
“Kita mahu syarikat Sarawak menjadi penyedia penyelesaian, rakan teknologi dan pemain berdaya saing di pasaran serantau serta global,” katanya ketika melancarkan Program Rantaian Bekalan dan Penyumberan Global Sarawak 2026 di sebuah hotel di Kuching pada Selasa.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) berkata, kerajaan Sarawak akan terus menarik pelaburan sambil memperkukuh ekosistem yang diperlukan bagi memastikan perniagaan tempatan dapat memanfaatkan peluang yang diwujudkan.
Bawa syarikat tempatan naik dalam rantaian nilai
Beliau berkata, matlamatnya bukan sekadar menambah bilangan vendor tempatan, sebaliknya membantu mereka bergerak ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai.
Menurutnya, usaha itu memerlukan kerjasama lebih erat antara syarikat multinasional (MNC), syarikat peneraju, pelabur dan perusahaan Sarawak bagi mengenal pasti peluang kerjasama yang nyata.
Awang Tengah berkata, Program Rantaian Bekalan dan Penyumberan Global Sarawak 2026 diwujudkan sebagai platform untuk membina hubungan berkenaan dan menterjemahkan peluang pelaburan kepada hubungan perniagaan yang mampan.
“Matlamat kita mestilah untuk bergerak daripada perkenalan kepada peluang, daripada peluang kepada perkongsian, dan daripada perkongsian kepada perniagaan yang mampan,” katanya.
Sejak 2021, Sarawak menarik pelaburan berjumlah RM116 bilion merangkumi sektor utama, perkhidmatan dan pembuatan.
Perkukuh keupayaan domestik
Sementara itu, Awang Tengah berkata, persekitaran ekonomi global turut berubah dengan pantas apabila rantaian bekalan kini memberikan penekanan lebih besar terhadap daya tahan, kemampanan, kebolehpercayaan dan kepelbagaian.
“Sarawak mesti menempatkan dirinya dalam landskap yang berubah ini dengan memperkukuh keupayaan domestik sambil menghubungkannya dengan lebih berkesan kepada pasaran antarabangsa,” katanya. — DagangNews.com





