
PETALING JAYA: Lebih 8,000 peluang pekerjaan daripada 200 majikan akan ditawarkan kepada graduan dan pencari kerja menerusi National Graduate Career Fair 2026 yang berlangsung pada 3 dan 4 Oktober ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Karnival kerjaya berskala nasional anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu memberi peluang kepada graduan dan pencari kerja untuk bertemu secara langsung dengan majikan, meneroka bidang kerjaya bersesuaian serta mendapatkan khidmat nasihat bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Menurut PERKESO dalam satu kenyataan, antara majikan utama yang mengambil bahagian ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).
Turut menyertai karnival berkenaan ialah Malaysia Airports Holdings Berhad, Prasarana Malaysia Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai sektor dan tahap kemahiran, termasuk teknologi maklumat dan komunikasi, kewangan, pembuatan, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal, pengangkutan dan penyimpanan serta kesihatan dan kerja sosial.

PERKESO berkata, sebanyak 52.91% daripada keseluruhan kekosongan yang ditawarkan menyediakan gaji melebihi RM3,000 sebulan.
Antara jawatan yang ditawarkan termasuk Eksekutif Akaun dengan gaji bermula sekitar RM3,000 sebulan, manakala jawatan tertentu seperti pengurus teknologi maklumat menawarkan gaji sehingga RM17,000 sebulan.
“National Graduate Career Fair 2026 bukan sahaja menyediakan peluang kepada graduan mendapatkan pekerjaan pertama, malah membuka akses kepada pekerjaan yang menawarkan potensi pendapatan serta perkembangan kerjaya yang lebih baik,” menurut kenyataan itu.
Menerusi konsep “walk-through career experience”, pengunjung boleh bergerak dari satu gerai majikan ke gerai yang lain untuk mengenal pasti kekosongan bersesuaian dengan kelayakan dan kemahiran mereka, selain berinteraksi secara terus dengan wakil industri.
Selain peluang pekerjaan, peserta turut berpeluang mendapatkan semakan resume secara profesional dan khidmat kaunseling kerjaya bagi mengenal pasti kekuatan diri, memperkemas strategi pencarian kerja serta membuat persediaan sebelum menghadiri sesi temu duga.
Menurut PERKESO, pendekatan itu membolehkan program berkenaan menjadi platform yang menghubungkan bakat dengan keperluan sebenar industri, sekali gus membantu merapatkan jurang antara kelayakan graduan dan permintaan pasaran pekerjaan.

Penganjuran karnival itu juga selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) untuk memperkukuh pembangunan bakat, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menangani isu ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran buruh.
National Graduate Career Fair 2026 dibuka kepada orang ramai dari 9 pagi hingga 4.30 petang pada kedua-dua hari berkenaan.
Graduan dan pencari kerja yang berminat boleh membuat pendaftaran menerusi portal MYFutureJobs dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai karnival berkenaan di portal tersebut.
PERKESO menggalakkan graduan dan pencari kerja, khususnya mereka yang sedang mencari pekerjaan, mahu meneroka bidang kerjaya baharu atau mencari pekerjaan yang lebih sepadan dengan kelayakan dan kemahiran, supaya memanfaatkan peluang yang disediakan menerusi karnival berkenaan.





