Lebih 8 juta pengguna TNB dilindungi

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2026 • 5:06 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lebih 8 juta pengguna TNB dilindungi

KUALA LUMPUR – Lebih lapan juta atau sehingga 90 peratus pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mendapat manfaat daripada peningkatan aras perlindungan penggunaan elektrik daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, keputusan kerajaan itu membolehkan kesemua pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 800kWj dan ke bawah sebulan dikecualikan daripada caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak lapan peratus serta caj peruncitan RM10 dalam bil elektrik bulanan mereka.

Beliau berkata, peningkatan aras perlindungan itu memberi manfaat kepada tambahan hampir satu juta pengguna domestik berbanding aras sebelumnya.

“Pengukuhan perlindungan tambahan ini akan berkuat kuasa bermula penggunaan elektrik September 2026 hingga 31 Disember 2026.

“Bagi penggunaan bulan September, jumlah pengurangan akan dikreditkan di dalam bil elektrik bulan Oktober,” katanya dalam Taklimat Media Mengenai Mekanisme Perlindungan Tambahan Buat Pengguna Domestik Elektrik di sini hari ini.

Shamsul berkata, pihaknya dijangka menampung caj AFA dan caj peruncitan berjumlah sekitar RM120 juta hingga RM150 juta sepanjang tempoh perlindungan tambahan berkenaan.

“Langkah ini diambil bagi mengurangkan impak penggunaan elektrik terhadap kos sara hidup pengguna, selain memastikan rakyat kekal dilindungi daripada perubahan kadar AFA yang dipengaruhi ketidaktentuan pasaran kos bahan api global.

“Ketidaktentuan itu berikutan krisis di Asia Barat serta peningkatan penggunaan elektrik disebabkan oleh cuaca panas dan jerebu yang sedang melanda ketika ini,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, pengguna perlu terus mengekalkan amalan cekap tenaga, khususnya ketika negara berdepan gelombang cuaca panas dan jerebu.

“Pengguna disarankan memantau penggunaan elektrik menerusi aplikasi myTNB, menetapkan penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celsius serta menggunakan peralatan elektrik dengan penarafan kecekapan tenaga empat atau lima bintang.

“Selain itu turut disarankan agar pengguna beralih kepada skim Time of Use (TOU) dengan menggunakan tenaga pada waktu luar puncak, iaitu antara pukul 10 malam hingga 2 petang pada Isnin hingga Jumaat serta sepanjang hari Sabtu, Ahad dan cuti umum,” katanya.

Selain itu, pengguna boleh mempertimbangkan pemasangan solar bumbung di bawah inisiatif Solar ATAP dan SuRIA Home yang menawarkan rebat sehingga RM3,000 bagi sistem 5kWac dengan tempoh pulangan modal sekitar lapan tahun.

“Sebagai syarikat utiliti nasional, keutamaan TNB adalah memastikan rakyat terus menikmati bekalan elektrik yang selamat dan berdaya harap dalam tempoh mencabar.

“Pada masa yang sama, TNB akan terus memainkan peranan secara proaktif untuk membantu pengguna mengurus penggunaan elektrik secara lebih cekap melalui akses kepada maklumat, teknologi dan pilihan penggunaan tenaga yang bersesuaian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Lebih 8 juta pengguna TNB dilindungi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved