TAPAH - Lebih lapan tan barang kawalan bernilai hampir RM22,000 dirampas dalam satu serbuan di sebuah premis menjual perkakasan dan barangan membuat kek di Slim River pada Isnin.
Serbuan sekitar jam 11.30 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tapah menerusi Ops Tiris 4.0.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan memiliki barang kawalan iaitu tepung gandum dan gula bagi tujuan jualan tanpa sebarang kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia.
“Satu notis di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung pemilikan barang kawalan tersebut.
“Maklum balas diterima mendapati premis berkenaan memiliki bekalan semasa sebanyak 7,813 kilogram tepung gandum dan 1,056 kilogram gula,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, peniaga terbabit gagal mengemukakan dokumen kebenaran yang sah bagi urusan melibatkan barang kawalan tersebut.
Sehubungan itu katanya, pihak KPDN telah mengambil tindakan dengan menyita kesemua barangan terbabit dianggarkan bernilai RM21,862.32 bersama dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki menjalankan urusan jualan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis.
"Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan melibatkan badan korporat pula, denda boleh mencecah sehingga RM2 juta dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kamalludin meminta orang ramai agar terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.
"Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan aktiviti penyelewengan dapat dibanteras secara berkesan," katanya.






