
Lebih 82,000 Petugas Kesihatan Dikecuali Bekerja Syif 45 Jam Seminggu
Kerajaan bersetuju untuk memberikan pengecualian kepada waktu bekerja syif bagi lima skim perkhidmatan kritikal di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan menetapkan waktu bekerja kepada 42 jam seminggu.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi satu kenyataan berkata pengecualian terbabit melibatkan seramai 82,637 petugas kesihatan yang merangkumi Jururawat, Jururawat Masyarakat, Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan, Penolong Pegawai Perubatan dan Pembantu Perawatan Kesihatan.
“Kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap kebimbangan yang disuarakan petugas kesihatan berhubung pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA),” kata JPA.
Keputusan itu juga dilakukan selepas kerajaan meneliti secara mendalam keperluan operasi dan hakikat tugas kritikal yang dijalankan oleh petugas kesihatan yang terlibat secara langsung dalam menyelamatkan nyawa pesakit dari katil ke katil tanpa mengira masa.
“Kerajaan melihat tanggungjawab sedemikian menuntut kesiapsiagaan fizikal, mental dan emosi yang luar biasa.
“Langkah ini adalah komitmen kerajaan MADANI untuk terus mendengar dan mengambil tindakan terhadap suara serta kebajikan petugas kesihatan yang menjadi tunjang sistem kesihatan negara,” katanya lagi.
Pada Mei lalu, tempoh moratorium pelaksanaan waktu bekerja selama 45 jam membabitkan golongan jururawat dilaporkan telah dilanjutkan untuk sebulan lagi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pelanjutan itu membolehkan pihaknya meneliti dan memahami pelbagai aspek melibatkan petugas anggota kesihatan terutamanya dalam isu kebajikan, lapor Bernama.
Sebelum tu, JPA telah meluluskan tempoh interim selama tiga bulan mulai 1 Disember 2024 hingga 28 Februari lalu. Ia bagi membuat persediaan ke arah pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam di KKM.
Sumber: Jabatan Perkhidmatan Awam
The post Lebih 82,000 Petugas Kesihatan Dikecuali Bekerja Syif 45 Jam Seminggu appeared first on Siakap Keli.



