Lebih 900 halangan jejas bantuan di Tebing Barat

16 Aug 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lebih 900 halangan jejas bantuan di Tebing Barat

NEW YORK: Operasi kemanusiaan di Tebing Barat yang diduduki tertangguh akibat rangkaian lebih 900 halangan fizikal, termasuk pusat pemeriksaan, pintu pagar dan sekatan jalan raya oleh rejim Zionis dan peneroka haram di kawasan itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jurucakap bersekutu PBB, Daniela Gross De Almeida memberitahu pemberita, sekatan itu mengehadkan akses bantuan kemanusiaan dan menyebabkan penduduk yang memerlukan tidak mendapat bantuan secukupnya.

“Rakan kemanusiaan kami memberi amaran kerja-kerja bantuan tertangguh dan terhad akibat rangkaian lebih 900 halangan fizikal, termasuk pusat pemeriksaan, pintu pagar, sekatan jalan raya dan sekatan lain. 

“Keadaan ini menghalang akses kemanusiaan dan menyebabkan mereka yang memerlukan tidak mendapat bantuan secukupnya,” katanya.

Di kampung Qusra berhampiran Nablus, pekerja bantuan dan pihak berkuasa perbandaran tidak dapat mengunjungi tiga keluarga Palestin yang terperangkap di kediaman mereka sejak Selasa.

Beliau berkata, keluarga terbabit terputus hubungan selepas sebuah pos penempatan baharu didirikan berhampiran kediaman mereka, selain sekatan akses di kawasan itu diperketatkan.

“Rakan sekerja kami memberi amaran usaha melindungi penduduk Palestin tidak berkesan, dengan peneroka dilaporkan mendirikan semula sebuah khemah yang telah dirobohkan tentera Israel semalam,” katanya.

Sementara itu, di Gaza, De Almeida berkata, petugas kemanusiaan terus menyalurkan bantuan penting kepada penduduk di wilayah yang dikepung itu meskipun berdepan ancaman keselamatan dan sekatan berterusan.

“Minggu lalu, kami dan rakan kongsi menggerakkan bantuan segera kepada penduduk yang kehilangan tempat perlindungan atau terpaksa berpindah sekali lagi akibat serangan, kebakaran rumah dan insiden lain.

“Lebih 12 insiden yang dilaporkan menyebabkan hampir 290 keluarga kehilangan tempat tinggal serta harta benda akibat serangan,” katanya.-AGENSI

The post Lebih 900 halangan jejas bantuan di Tebing Barat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved