
PEKAN – Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) adalah lebih afdal tidak dilakukan dalam masa terdekat, sebaliknya dibuat sehingga hampir tamat tempoh pada awal 2028.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh berbaki yang masih lama seeloknya digunakan sebaik mungkin bagi menjaga kebajikan rakyat.
“Sekarang baru September 2026, banyak benda lagi kita boleh memanfaatkan kedudukan kerajaan sekarang, jaga kestabilan, elok urus ekonomi dengan cermat dan tumpu kebajikan rakyat.
“Setahun lebih ini masa cukup lumayan untuk kita tumpu kepada menunaikan amanah kepimpinan dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Nenasi, di sini, hari ini.
Hari ini Kosmo! melaporkan, UMNO mahu PRU16 diadakan segera bagi memberi ruang kepada parti itu kembali mendapatkan mandat rakyat untuk menerajui kepimpinan negara.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, PRU16 merupakan detik penentuan buat UMNO untuk membuktikan bahawa parti itu bukan sekadar pelengkap kepada kerajaan.
Menurut Zahid Gelombang Biru yang dibawa UMNO perlu diterjemahkan kepada usaha mendapatkan semula mandat rakyat.
Dalam pada itu mengulas mengenai ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO, semalam, Saifuddin berkata ucapan itu sebenarnya menyentuh banyak perkara tetapi berkisar atas satu paksi yang sama mengenai kepentingan agama, bangsa dan negara.
Katanya, dalam ucapan kali ini jelas Presiden UMNO menyatakan hasrat bahawa menjelang PRU16 akan datang UMNO mahu memposisikan dirinya sebagai sebuah parti yang boleh memimpin kerajaan.
“Tidak salah semua parti boleh menyimpan hasrat, menyimpan cita-cita atau menyusun matlamat untuk menjadi memimpin kerajaan, tiada masalah itu normal,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Lebih afdal PRU16 tidak dibuat segera – Saifuddin Nasution appeared first on Kosmo Online.






