
KUALA LUMPUR - Tiada sebarang keputusan dibuat untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal, meskipun terdapat gesaan agar ia diadakan sebelum tempoh Parlimen berakhir tahun depan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata cadangan supaya PRU16 diadakan lebih awal hanyalah pandangan daripada parti politik dan tidak boleh dianggap sebagai keputusan rasmi.
“Tiada keputusan langsung, sebenarnya. Ia adalah cadangan. Cadangan untuk mengadakan pilihan raya awal itu adalah cadangan daripada parti,” katanya ketika ditemui selepas majlis pembukaan Hari Terbuka Parlimen Malaysia 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam supaya PRU16 diadakan sebelum tempoh Parlimen semasa berakhir tahun depan.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata mandat perlu dikembalikan kepada rakyat dan UMNO bersedia menghadapi parti lawan pada PRU16.
Johari berkata mana-mana parti bebas mengemukakan cadangan mengenai tarikh atau masa sesuai untuk PRU16, namun perkara itu tidak bermakna keputusan telah dibuat.
“Dan saya fikir tiada keputusan langsung. Jadi parti-parti boleh membuat apa sahaja cadangan,” katanya.
Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh sebenar pilihan raya.
Setakat ini, tiada pengumuman rasmi dibuat berhubung tarikh PRU16. - Getaran, 12 September 2026






