‘Saya dimalukan kerana isteri kedua mahu cerai’

11 Sep 2026 • 3:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Saya dimalukan kerana isteri kedua mahu cerai’

SHAH ALAM – Bekas penceramah bebas, Faridul Firdaus Zaulkapli, 40, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Farid Abu Auliya, mendakwa laporan berkaitan dirinya sebelum ini telah memberi gambaran yang memalukan dan tidak selari dengan pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Faridul Firdaus berkata, laporan itu dibuat isteri keduanya bertujuan memalukan dirinya dan bercerai dengannya.

Katanya, wanita tersebut masih isteri yang sah apabila permohonan cerai yang dibuatnya sebelum ini telah ditolak Mahkamah Syariah.

“Isteri kedua saya yang membuat laporan ini untuk cerai dengan memalukan saya. Dia gunakan pendekatan sama dengan membawa perkara ini ke Mahkamah Syariah, tetapi permohonan cerainya ditolak.

“Dia masih isteri yang sah untuk tempoh lebih setahun ini,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Bapa kepada 11 anak itu turut mempercayai terdapat pihak yang bersengkokol dengan isterinya berhubung perkara tersebut sehingga menyebabkan dirinya berdepan pelbagai laporan sensasi sejak lebih setahun lalu.

Justeru katanya, dia menafikan beberapa laporan terdahulu yang didakwa mengaitkannya dengan pertuduhan atau dakwaan lain yang berbeza daripada pertuduhan sebenar yang kini dihadapi.

“Saya mahu nafikan kenyataan sebelum ini kerana pendakwaan dan reman sebelum ini adalah berbeza dengan apa yang diviralkan sehingga memalukan saya.

“Sebelum ini saya direman di bawah Seksyen 509 (mengaibkan kehormatan). Untuk apa? Sekarang saya sudah berdepan pertuduhan sebenar (memiliki gambar bogel dan video lucah) ,” katanya.

Faridul Firdaus turut meminta wartawan dan pempengaruh yang pernah menerbitkan laporan berkaitan dirinya sebelum ini supaya menurunkan laporan yang didakwanya tidak tepat.

Katanya, dia mempunyai hak untuk mendapatkan pembelaan dan mahu perkara berkaitan dirinya dilaporkan berdasarkan pertuduhan sebenar di mahkamah.

“Saya sudah beri masa lebih setahun kepada portal untuk menurunkan tajuk-tajuk sensasi mengenai saya. Saya ada peguam dan bukan mahu lari daripada kes ini, tetapi saya mahu menjaga nama baik dan agama.

“Jadi, saya ingat semua wartawan datang hari ini, yang tidak tahu dibayar ke apa, untuk mencari kebenaran atau tidak. Saya ada hak mendapat pembelaan,” jelasnya.

Faridul Firdaus bagaimanapun menyatakan tidak berniat untuk bermasalah dengan pihak media, sebaliknya mahu penjelasan dan penafiannya turut diberikan ruang untuk dilaporkan.

“Saya bukan mahu bermasalah dengan wartawan. Saya cuma mahu wartawan mencari kebenaran dan memberi saya hak untuk menjelaskan perkara sebenar.

“Daripada tahun lalu, saya sudah rasa malu apabila laporan dan tajuk yang dibuat menggambarkan seolah-olah saya melakukan perkara lain, sedangkan pertuduhan yang dihadapi sekarang adalah berbeza,” katanya.

Faridul Firdaus turut mendakwa banyak laporan berkaitan dirinya sebelum ini adalah tidak tepat, termasuk dakwaan bahawa dirinya menyebarkan video seks serta menggunakan agama untuk kepentingan tertentu.

“Semuanya salah. Ada yang kata saya tunggang agama dan menyebarkan (video seks), tetapi pendakwaan hari ini lain. Jadi saya ada hak untuk menjelaskan perkara itu.

“Saya mahu lihat wartawan tulis, kalau tidak tulis apa kenyataan saya ini, saya akan buat saman,” katanya.

Terdahulu, Faridul Firdaus mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majisteet hari ini atas dua pertuduhan memiliki gambar bogel dan video lucah.

Kosmo! pada 5 Julai tahun lalu melaporkan, polis menyiasat seorang penceramah bebas berhubung kes penyebaran video seks isteri-isterinya.

Siasatan tersebut selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita yang merupakan isteri kedua suspek lelaki tersebut, pukul 12 tengah hari, 16 Jun tahun lalu.

Pengadu mendakwa penceramah itu menyebarkan video seks dirinya dan madu-madu lain serta beberapa wanita lain. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Saya dimalukan kerana isteri kedua mahu cerai’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved