
PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menyelar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) kerana mengambil masa terlalu lama untuk menentukan sama ada khidmat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang masih diperlukan bagi misi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Beliau berkata, kelewatan itu menyebabkan Azizulhasni terpaksa mengeluarkan penjelasan sepanjang sembilan muka surat mengenai masa depan kariernya sebelum MSN memberikan maklum balas.
“Sampai atlet sendiri kena tulis surat panjang berjela, baru MSN berikan jawapan.
“Sehebat mana seseorang atlet itu, tetapi jika pengurusannya lembab dan tidak kompeten, maka inilah yang akan merugikan aset sukan negara kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhamad Akmal berkata, kelemahan pengurusan di peringkat kementerian tidak seharusnya menyebabkan negara kehilangan lebih ramai atlet berbakat.
“Jangan disebabkan kelembapan dan ketidakupayaan menteri untuk mengurus, kita akhirnya kehilangan lebih ramai atlet berbakat.
“Lebih baik kita hilang menteri sebegini daripada kehilangan atlet yang banyak jasanya kepada negara,” katanya.
Azizulhasni sebelum ini tampil memberikan penjelasan sepanjang sembilan muka surat berhubung masa depan kariernya dan misi kelayakan ke LA28.
Pelumba berusia 38 tahun itu mendakwa KBS dan MSN mengambil masa sehingga dua bulan lima hari untuk memberikan keputusan konkrit berhubung khidmatnya bagi menghadapi temasya berkenaan.
Menurut bekas juara dunia itu, kelewatan tersebut menyukarkannya menentukan hala tuju karier dan merancang persiapan termasuk latihan, penyertaan dalam kejohanan, keluarga serta komitmen bersama penaja.
Azizulhasni berkata, persoalan utama bukan sekadar sama ada beliau mahu meneruskan kayuhan ke LA28, sebaliknya sama ada Malaysia masih memerlukan khidmatnya dalam perancangan menuju temasya tersebut.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk bergerak secara profesional tanpa menerima geran daripada KBS dan MSN sekiranya langkah itu dapat memudahkan keadaan.
Katanya, dana berkenaan boleh disalurkan kepada pelumba lain, manakala beliau akan mendapatkan sokongan pihak swasta bagi meneruskan misi kelayakan ke LA28. – UTUSAN
The post Lebih baik hilang menteri daripada atlet negara – Akmal Saleh appeared first on Utusan Malaysia.






