hamden04/08/2026 - 10:03 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Ogos - Sunway Construction Group Bhd (SunCon) dijangka memperoleh lebih banyak kontrak baharu pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26), disokong saluran tender yang kukuh khususnya dalam segmen pusat data, sekali gus mengukuhkan prospek pertumbuhan kumpulan untuk beberapa tahun akan datang.
Firma penyelidikan berkata, kumpulan berada pada kedudukan terbaik untuk melepasi sasaran penambahan kontrak tahun ini memandangkan sebanyak RM5.8 bilion kontrak baharu telah diraih setakat ini, bersamaan 97% daripada sasaran asal FY26 sebanyak RM6 bilion.
Seiring dengan prospek positif itu, penganalisis bukan sahaja menaikkan sasaran jumlah kontrak bagi FY26, namun turut menaikkan harga sasaran (TP) kumpulan berkenaan.
RHB Research yang mengekalkan saranan "Beli" terhadap saham SunCon menaikkan harga sasaran kepada RM9.51 daripada RM8.33 sebelum ini, berdasarkan gandaan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 23.5 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham FY2027, termasuk premium ESG sebanyak 4%.
Harga sasaran baharu itu menawarkan potensi kenaikan sekitar 23% daripada harga semasa, di samping jangkaan hasil dividen kira-kira 3% bagi FY2027.
MBSB Research yang turut mengekalkan saranan "Beli" saham SunCon menaikkan harga sasaran kepada RM8.81 daripada RM8.19 sebelum ini, berdasarkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27F sebanyak 36.7 sen dan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 24 kali.
Malah, firma itu turut menaikkan sasaran penambahan kontrak FY26 kepada RM6.3 bilion selepas mengambil kira potensi penganugerahan beberapa projek utama sepanjang baki tahun ini.
Antara projek yang dijangka menjadi pemangkin ialah pakej mekanikal, elektrikal dan perpaipan (MEP) Shell 2, projek Serendah Fasa 2 serta kira-kira RM1 bilion projek dalaman melibatkan pembinaan hospital dan pembangunan berorientasikan transit (TOD).
Lebih menggalakkan, sekitar 90% daripada buku tender SunCon bernilai RM13.5 bilion setakat Julai 2026 terdiri daripada projek pusat data, dengan kebanyakannya merupakan fasa susulan daripada pelanggan hyperscaler sedia ada yang tertumpu di Johor dan Lembah Klang.
Menurut MBSB Research lagi, momentum kontrak baharu tersebut dijangka terus memperkukuhkan buku tempahan tertunggak SunCon yang kini berada pada paras rekod RM10.4 bilion, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan sehingga FY29.
Sementara itu RHB Research yang menaikkan sasaran penambahan kontrak baharu kepada RM7 bilion bagi FY26 berkata, SunCon tidak mempunyai masalah untuk mencapai sasaran itu selepas nilai kontrak yang dimenangi setakat ini telah mencecah RM5.8 bilion.
"Ini bermakna syarikat hanya memerlukan tambahan kontrak sekitar RM1.2 bilion lagi bagi mencapai sasaran tersebut, yang disifatkan sebagai realistik memandangkan SunCon dianggarkan mempunyai saluran bidaan aktif bernilai RM12 bilion hingga RM13 bilion, dengan kira-kira 70% hingga 80% terdiri daripada projek pusat data," katanya.
Keyakinan itu diperkukuhkan selepas SunCon memperoleh kontrak MEP bernilai RM1 bilion dan firma itu menganggarkan projek berkenaan mampu menjana margin keuntungan sebelum cukai (PBT) sekitar 8% hingga 10%.
Kontrak tersebut merupakan projek kedua yang diterima daripada pelanggan sama selepas SunCon memperoleh kontrak pembinaan teras dan struktur bangunan pusat data bernilai RM570 juta pada Disember 2025, sekali gus mengukuhkan hubungan perniagaan dengan pelanggan berkenaan.
Sejajar dengan prospek kontrak yang semakin memberangsangkan, RHB Research menaikkan unjuran pendapatan SunCon bagi FY2026 hingga FY2028 masing-masing sebanyak 1%, 14% dan 9%.
Menurut RHB Research, potensi kenaikan selanjutnya kepada penilaian saham bergantung kepada keupayaan SunCon memperoleh lebih banyak kontrak pusat data baharu di luar kawasan projek yang sedang diceburinya ketika ini, manakala kelembapan dalam perolehan kontrak kekal sebagai risiko utama kepada prospek syarikat. - DagangNews.com





