Sunway Construction raih kontrak RM1.02 bilion bagi kerja mekanikal dan perpaipan pusat data di Johor

LocalBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 2:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sunway Construction raih kontrak RM1.02 bilion bagi kerja mekanikal dan perpaipan pusat data di Johor Image from: Sunway Construction raih kontrak RM1.02 bilion bagi kerja mekanikal dan perpaipan pusat data di Johor hamden03/08/2026 - 14:56 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Sunway Construction Group Bhd. (SunCon) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain utama dalam pembinaan pusat data selepas memperoleh kontrak bernilai RM1.02 bilion bagi kerja-kerja kemasan mekanikal, elektrikal dan perpaipan (MEP) untuk sebuah pembangunan pusat data di Johor.

 

Kontrak terbaharu itu meningkatkan nilai kontrak baharu yang diperoleh SunCon setakat tahun kewangan semasa kepada RM5.8 bilion, sekali gus melonjakkan buku tempahan semasa kumpulan kepada RM10.4 bilion yang dijangka menyokong keterlihatan pendapatan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, SunCon berkata, anak syarikat milik penuhnya, Sunway Construction Sdn. Bhd. (SCSB), telah menerima Surat Anugerah daripada sebuah syarikat teknologi multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat bagi melaksanakan kerja-kerja MEP untuk pembangunan pusat data berkenaan.

 

Menurut syarikat itu, Surat Anugerah tersebut turut berfungsi sebagai arahan untuk memulakan kerja pembinaan dengan projek berkenaan dijadualkan siap pada suku keempat 2027.

 

"Kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan Kumpulan SunCon bermula tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, tertakluk kepada tiada sebarang keadaan luar jangka," katanya.

 

SunCon berkata, projek tersebut tertakluk kepada risiko biasa dalam industri pembinaan termasuk turun naik harga bahan binaan.

 

Bagaimanapun, syarikat yakin risiko tersebut dapat dikurangkan menerusi pengalaman dan kepakaran SCSB dalam melaksanakan projek pembinaan serta pembangunan pusat data.

 

Dari sudut kewangan, SunCon berkata kontrak berkenaan tidak akan memberi kesan terhadap modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat memandangkan ia tidak melibatkan sebarang penerbitan saham baharu.

 

Selain itu, projek tersebut juga dijangka tidak memberi kesan material serta-merta terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham atau tahap penggearan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved