liza03/08/2026 - 10:37 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Ogos – Kontrak baharu penghantaran gas asli cecair (LNG) ke Jepun akan mengukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjang MISC dan mampu meningkatkan keterlihatan pendapatan syarikat selain mengurangkan pendedahan kepada risiko turun naik pasaran, kata penganalisis.
Perjanjian sewaan masa (Time Charter Party - TCP) selama 10 tahun yang diperoleh daripada Malaysia LNG Sdn. Bhd (MLNG) bukan sahaja menjamin aliran pendapatan yang lebih stabil, malah mengukuhkan lagi kedudukan MISC sebagai antara pemain utama dalam segmen perkapalan LNG.
Walaupun kontrak itu dijangka hanya memberi sumbangan kecil kepada keuntungan tahunan MISC, penganalisis berkata nilai sebenar terletak pada tempoh kontrak yang panjang, kadar sewaan yang tetap, risiko kegagalan pembayaran yang rendah serta prospek mengembangkan lagi portfolio perniagaan LNG syarikat pada masa hadapan.
Lebih Banyak Pemangkin Pertumbuhan
Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan "Beli" terhadap MISC dengan harga sasaran RM9.71 sesaham, yang mencerminkan potensi kenaikan kira-kira 21.5% daripada harga pasaran RM7.99.
Firma penyelidikan itu berkata kontrak baharu tersebut mengukuhkan lagi armada LNG MISC dan menyokong strategi syarikat untuk terus mengembangkan perniagaan perkapalan tenaga menerusi kontrak jangka panjang yang mampu menjana pendapatan lebih stabil.
Menurut RHB Research, pemangkin utama pertumbuhan MISC kekal disokong oleh kadar sewaan kapal tangki yang lebih tinggi, potensi memperoleh lebih banyak kontrak dalam segmen luar pesisir serta tambahan kontrak LNG baharu pada masa depan.
Bagi tahun kewangan 2026, RHB Research mengunjurkan MISC mencatatkan hasil sebanyak RM13.72 bilion dengan keuntungan bersih berulang RM2.51 bilion.
“Kami menjangkakan syarikat mampu mengekalkan hasil dividen sekitar 4.8% yang menawarkan pulangan menarik kepada pemegang saham,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Selain prospek kewangan, RHB Research turut menekankan kemajuan MISC dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), termasuk pengurangan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 7% kepada kira-kira 6 juta tan karbon dioksida setara (CO2e).
MISC juga menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan karbon sebanyak 50% menjelang 2030 menerusi pembangunan kapal sifar pelepasan dan kapal menggunakan bahan api ammonia, selain mengintegrasikan rangka kerja harga karbon dalaman dalam keputusan pelaburannya.
ARTIKEL BERKAITAN: MISC peroleh kontrak sewaan kapal LNG selama 10 tahun dengan MLNG, operasi bermula 2028
Nilai Kontrak Berisiko Rendah
Sementara itu, MBSB Research turut mengekalkan saranan "Beli" dengan harga sasaran RM9.22 sesaham selepas MISC memperoleh kontrak pajakan masa selama 10 tahun daripada MLNG bagi menghantar LNG dari Kompleks LNG PETRONAS di Bintulu, Sarawak ke Jepun, yang dijadual bermula pada 2028.
Menurut firma penyelidikan itu, struktur kontrak berkenaan memberi kelebihan kepada MISC kerana MLNG akan menanggung sebarang perubahan kos pelayaran, termasuk bahan api, caj pelabuhan dan caj terusan.
“Ini bermakna MISC kurang terdedah kepada turun naik kos operasi dan hanya bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan kapal, kru serta aspek teknikal, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan sepanjang tempoh kontrak,” katanya.
MBSB Research berkata kapal LNG baharu berkapasiti 18,700 meter padu yang akan dibina oleh Hudong-Zhonghua Shipbuilding Group Co. Ltd. sesuai digunakan untuk pelabuhan yang mempunyai had kedalaman, dermaga lebih kecil atau kemudahan penyimpanan berskala sederhana.
Pada masa sama, penggunaan kapal baharu itu membolehkan penghantaran LNG dibuat secara terus kepada grid utiliti tempatan tanpa memerlukan proses pemindahan kargo yang panjang.
Firma itu turut berpandangan penggunaan kapal baharu akan membantu MISC menggantikan kapal LNG lama yang kurang cekap, sekali gus menyokong pematuhan terhadap sasaran intensiti karbon Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dan memperkukuh prestasi ESG syarikat.
Dari sudut kewangan, MBSB Research menganggarkan projek tersebut mampu menjana hasil tahunan antara RM36 juta hingga RM47 juta dengan keuntungan bersih sekitar RM7 juta hingga RM12 juta, bersamaan kira-kira 0.5% hingga 1% daripada keuntungan tahunan MISC.
Walaupun impaknya terhadap pendapatan keseluruhan adalah kecil dan firma itu tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran kewangan.
MBSB Research kekal optimis kerana kontrak jangka panjang itu menawarkan aliran pendapatan yang stabil dengan risiko pasaran serta risiko kegagalan pembayaran yang minimum. - DagangNews.com





