Lebih pentingkan karier, suami dan anak-anak – Nad Zainal

EntertainmentLifestyle
23 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lebih pentingkan karier, suami dan anak-anak – Nad Zainal

Sepanjang 18 tahun mencipta nama, tiada sekelumit pun niat Nad Zainal terpesong dalam industri ini.

Prinsip wanita ini mudah, fokus kerjaya dan luangkan setiap detik bersama suami dan anak-anak. Itulah keutamaan Farah Nadia Zainal Abidin.

Bertanya dengan tuan badannya sendiri, Nad sememangnya mahu berikan sehabis baik dalam kerjaya dunia seni. Bagi pemenang Pelakon Wanita Terbaik Drama dalam Anugerah Skrin 2018 ini, cara dia membawa diri dan menjaga bakat itu jauh lebih utama daripada membuang masa melayan hal yang bukan-bukan.

“Saya sentiasa cakap dalam diri, jaga karier dan jaga diri sebab itu satu cara untuk kekal dalam industri ini yang saya boleh katakan tidak senang sebenarnya. Kalau tersilap langkah, saya akan terus lenyap dalam industri ini.
“Paling penting adalah bagaimana saya boleh tepis negativiti mengenai diri saya. Apa pandangan orang luar, itu yang saya perlu jaga dan uruskan,” katanya kepada Pancaindera.

Menyentuh mengenai persahabatannya pula, Nad Zainal terang-terangan enggan membiarkan diri terikat dengan budaya berkelompok. Dia memilih untuk bergerak solo tanpa perlu berpura-pura mesra dengan sesiapa demi mengekalkan kewujudannya dalam dunia glamor.

Image from: Lebih pentingkan karier, suami dan anak-anak – Nad Zainal

Satu kelebihan Nad Zainal, dia mampu butakan mata untuk setiap perkara yang negatif terhadap dirinya. Tidak hairanlah apabila terpalit dengan kontroversi, hal sedemikian sikit pun tidak pernah menetap dalam kepalanya kerana dia memilih untuk tidak ambil pusing hal peribadi sesiapa.

“Kalau daripada segi isu khianat-mengkhianati ini, setakat ini tidak pernah pula berlaku pada saya. Dalam skop kerja hal sebegini memang sentiasa ada, tetapi kalau isu peribadi saya memang tidak pernah ambil pusing.

“Saya berada dalam industri ini sebab minat dan buat semuanya demi keluarga. Bila fokus pada karya, saya boleh tolak tepi apa sahaja yang negatif sebab matlamat saya adalah untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya kepada Pancaindera.

Lagipun, sebagai anak tunggal yang terbiasa berdikari, Nad sentiasa tahu keutamaannya. Sebaik sahaja selesai penggambaran, dia terus pulang ke rumah untuk luangkan masa bersama anak-anak dan suami.

“Saya memang tiada kawan rapat dalam kehidupan saya. Saya memang lebih kepada keluarga sahaja. Matlamat saya dalam hidup adalah mahu bertahan dalam industri, dapat bekerja dengan orang yang bagus-bagus dan ada anak ramai.

“Sebab saya anak tunggal, jadi saya jarang bersosial di luar. Saya memang tumpukan masa sepenuhnya dengan keluarga saya sahaja,” katanya.

Image from: Lebih pentingkan karier, suami dan anak-anak – Nad Zainal

Bertuah miliki Ungku Ismail Aziz

Kehidupan Nad Zainal kini semakin tenang dan bahagia di samping suami tersayang, Ungku Ismail Aziz. Saling melengkapi antara satu sama lain, perkahwinan ini dibina atas dasar kesefahaman.

Menjelaskan keistimewaan suaminya, Nad menyifatkan Ungku Ismail sebagai seorang lelaki yang mempunyai tujuan untuk masa depan yang sangat jelas. Memandangkan kedua-duanya bergelar anak seni, perkara ini memudahkan lagi hala tuju kehidupan mereka sekeluarga.

“Kami jenis yang sama. Kita utamakan keluarga dan memang ada visi yang jelas dalam hidup tentang apa yang kita mahu buat lima hingga 10 tahun akan datang.

“Jadi, benda itu sangat mudah untuk kita fahami bersama. Kita bukan jenis orang yang suka sangat keluar. Habis kerja sahaja kita akan terus balik ke rumah,” katanya.

Dalam pada itu, profesionalisme dalam kerjaya turut dijaga apabila kedua-duanya enggan terlalu larut dalam glamor dunia hiburan. Mereka sentiasa meletakkan sempadan antara tugas hakiki dan kehidupan peribadi.

“Kita bukan seorang yang inginkan hiburan semata-mata, lakonan ini kita anggap sebagai kerja dan kerjaya sahaja.

“Sele­bihnya kita memang tidak terlibat sangat dengan dunia hiburan ha­bis kerja. Sebab anak-anak ada yang sudah berse­kolah, lepas kerja itulah masa kami bersama mereka,” katanya.

Image from: Lebih pentingkan karier, suami dan anak-anak – Nad Zainal

Tiada istilah ‘no class’

Tanggapan kononnya tindakan membuat ulasan produk dan makanan di media sosial mematikan class seseorang selebriti langsung tidak menggetarkan pendirian Nad Zainal.

Nad berkata, reputasi pelakon sepatutnya diukur melalui anugerah dan mutu persembahannya di TV, bukannya melalui cara pelakon itu menggunakan platform media sosial.

“Tiada isu ‘class’ atau merosakkan reputasi sebab pencapaian seni saya tetap terbukti menerusi pencalonan drama pada setiap tahun. Apa yang saya lakukan ini adalah untuk membantu peniaga dan demi kelangsungan hidup saya sendiri tanpa perlu meminta-minta daripada sesiapa.

“Tiada hak untuk orang lain menghakimi standard saya kerana review ini adalah salah satu cara untuk saya menyumbang semula. Jadi, apa yang saya mahu buat di luar TV adalah hak saya,” tegas pelakon Takdir Yang Tertulis ini.

Sambil bekerja dan sambil membantu, itu konsep Nad Zainal dalam membuat ulasan produk dan makanan ini.

Mana tidaknya, harga yang ditawarkan kepada peniaga-peniaga kecil ini sangat berpatutan.

“Peniaga kecil biasanya terkejut bila dapat tahu kadar harga yang saya tawarkan kerana niat saya memang untuk bantu mereka.

“Tetapi, saya akan semak profil perniagaan mereka terlebih dahulu bagi memastikan tawaran ini benar-benar sampai kepada sasaran yang betul,” katanya.

Namun, katanya, jika ada syarikat besar yang cuba berselindung untuk mendapatkan harga murah tersebut, dia akan terus menolak permintaan itu. Syarikat besar mempunyai kadar bayaran berbeza dan tidak boleh mengambil kesempatan atas ruang peniaga kecil.

“Malah, ada peniaga kecil yang saya bantu secara percuma tanpa mengenakan sebarang bayaran kerana faham kesukaran mereka.

“Hajat saya cuma mahu melihat perniagaan mereka berkembang dan mampu bertahan,” katanya menutup bicara.

The post Lebih pentingkan karier, suami dan anak-anak – Nad Zainal appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved