Lebih RM1 bilion diperuntukkan atasi masalah bekalan air di Sabah - Hajiji

LocalPolitics
8 Sep 2026 • 3:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lebih RM1 bilion diperuntukkan atasi masalah bekalan air di Sabah - Hajiji Image from: Lebih RM1 bilion diperuntukkan atasi masalah bekalan air di Sabah - Hajiji liza08/09/2026 - 15:50 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Sept – Kerajaan Sabah membelanjakan lebih RM1 bilion bagi memperbaiki sistem bekalan air di seluruh negeri, termasuk menggantikan rangkaian paip yang sudah usang serta yang mengalami masalah akibat kecurian.

 

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata usaha berkenaan adalah antara langkah kerajaan negeri untuk menangani masalah bekalan air yang telah berlarutan di beberapa kawasan.

 

Menurut beliau, kerja menaik taraf dan menggantikan paip dilaksanakan di kebanyakan daerah sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keupayaan sistem bekalan air negeri.

 

“Beberapa projek bekalan air berskala besar juga sedang dalam pelaksanaan dengan sekurang-kurangnya satu daripadanya dijangka dapat disiapkan menjelang penghujung tahun ini.

 

Projek Bekalan Air Terus Dilaksanakan

“Projek bekalan air di Tawau pula kini berada pada tahap kemajuan antara 50% hingga 60%.

 

“Kerajaan negeri terus memberi keutamaan kepada penyelesaian masalah kemudahan asas yang sudah lama dihadapi penduduk dan memastikan isu berkaitan bekalan air, elektrik dan jaringan jalan raya dapat ditangani secara berperingkat,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika hadir di majlis pelancaran 106 Unit Kedai Dua Tingkat Fasa 1 dan Pecah Tanah Projek Komersil Fasa 2 dan 3 Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah di Jalan Bubul, Semporna.

 

Sabah Galak Kemasukan Pelaburan

Dalam pada itu, Hajiji berkata pembangunan yang dilaksanakan itu bukan sekadar projek komersial tetapi sebahagian daripada usaha memperluaskan peluang ekonomi dan pertumbuhan di daerah Semporna.

 

Tambahnya Semporna mempunyai keistimewaan tersendiri dengan keindahan alam semula jadi yang menjadi tarikan pelancong daripada seluruh dunia. 

 

Beliau berkata kerajaan negeri mahu sektor pelancongan berkembang seiring dengan perniagaan tempatan supaya lebih banyak peluang keusahawanan dan pekerjaan dapat diwujudkan untuk anak-anak Semporna.

 

“Melalui Sabah Maju Jaya 2.0, Kerajaan Negeri akan terus memberikan perhatian kepada pembangunan di setiap daerah dengan memperkukuh infrastruktur, menarik pelaburan yang sesuai dan bekerjasama dengan sektor swasta serta masyarakat. 

 

“Kita tidak mahu Sabah hanya menjadi tempat pelaburan tetapi mahu anak Sabah turut menjadi sebahagian daripada pelaburan dan pertumbuhan itu. Tidak ada daerah yang terlalu jauh dan tidak ada potensi yang harus kita biarkan begitu sahaja,” katanya.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved