Lebih RM132,000 untuk 436 pelajar cemerlang SPM 2025

15 Jun 2026 • 5:21 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lebih RM132,000 untuk 436 pelajar cemerlang SPM 2025

Kota Kinabalu: Lebih RM132,000 disalurkan kepada pelajar cemerlang menerusi Majlis Apresiasi Wira SPM 2025 Parlimen Kota Kinabalu yang meraikan kecemerlangan akademik 436 pelajar SPM 2025 dari sekolah-sekolah di kawasan Parlimen berkenaan.

Majlis yang berlangsung di Dewan SJK(C) Chung Hwa Likas itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Parlimen Kota Kinabalu Datuk Chan Foong Hin.

Peruntukan melebihi RM132,000 tahun ini diberikan sebagai penghargaan dan galakan kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2025.

Menurut Chan, program itu merupakan inisiatif tahunan Pejabat Parlimen Kota Kinabalu bagi mengiktiraf pencapaian pelajar di samping memberi motivasi kepada golongan muda untuk terus mengejar kecemerlangan akademik.

Beliau berkata skim insentif bagi pelajar cemerlang SPM itu sudah dilaksanakan sejak dua tahun lalu dengan jumlah peruntukan yang meningkat secara konsisten daripada lebih RM70,000 pada tahun pertama kepada hampir RM100,000 pada tahun berikutnya dan meningkat kepada lebih RM132,000 pada tahun ini.

“Lebih membanggakan daripada 605 pelajar di Sabah yang memperoleh semua A dalam SPM 2025, kira-kira 436 orang adalah daripada sekolah-sekolah dalam kawasan Parlimen Kota Kinabalu,” katanya, sambil menambah, pencapaian itu membuktikan prestasi akademik yang kukuh serta daya saing tinggi sekolah-sekolah di kawasan itu di peringkat negeri dan kebangsaan.

Chan turut menggalakkan pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) khususnya bidang kejuruteraan bagi memenuhi keperluan pembangunan Sabah pada masa hadapan.

Beliau berharap graduan yang menamatkan pengajian akan kembali berkhidmat di Sabah dan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur serta kemajuan negeri.

“Pembangunan infrastruktur memerlukan modal insan yang mencukupi, khususnya tenaga profesional seperti jurutera. Sabah amat memerlukan kepakaran dalam bidang ini. Saya berharap anak-anak muda kita akan melanjutkan pengajian dan kembali menyumbang kepakaran mereka demi pembangunan Sabah pada masa depan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru, ibu bapa dan pihak sekolah atas dedikasi serta pengorbanan mereka dalam memastikan kejayaan pelajar.

Majlis itu menyaksikan penyampaian anugerah dalam pelbagai kategori termasuk pencapaian 6A hingga 12A, pelajar lelaki dan perempuan terbaik, sekolah terbaik serta pengiktirafan khas kepada murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).

Antara pencapaian utama yang diumumkan ialah Chong Jing Yeng dari SM Kian Kok Kota Kinabalu yang dinobatkan sebagai Pelajar Lelaki Terbaik selepas memperoleh 12A manakala Daphne Chan dari sekolah yang sama dinobatkan sebagai Pelajar Perempuan Terbaik dengan pencapaian 11A.

SM Maktab Sabah menerima pengiktirafan sebagai Sekolah Terbaik (LMS) dengan kadar pencapaian 100 peratus manakala SM Kian Kok Kota Kinabalu menerima Anugerah Sekolah Terbaik (GPS) dan Anjakan Paradigma.

Pengiktirafan khas turut diberikan kepada sekolah-sekolah dalam kawasan Parlimen Kota Kinabalu yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam SPM 2025 termasuk sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Chan turut menggalakkan pelajar memanfaatkan biasiswa dan bantuan pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk melalui BKNS, Yayasan Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Beliau menegaskan bahawa pelaburan dalam pendidikan merupakan pelaburan terbaik untuk Sabah dan negara serta menyatakan sokongan berterusan perlu diberikan bagi memperkasakan golongan muda mencapai kejayaan.

“Tanggungjawab kita bukan sekadar meraikan kejayaan hari ini tetapi memastikan generasi muda terus menerima peluang, sokongan dan keyakinan untuk melangkah lebih jauh,” katanya.