
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM263.72 juta bagi pelaksanaan 25 kategori Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang bakal memanfaatkan lebih 820,000 penerima menerusi Belanjawan Johor 2027 yang dibentangkan, hari ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, BKJ Fasa 5 dan 6 akan dilaksanakan bermula Disember ini dan Februari 2027.
Menurutnya, tujuannya adalah bagi memastikan hasil pembangunan ekonomi negeri turut dirasai rakyat, terutama keluarga berpendapatan rendah serta golongan yang berdepan kesukaran harian.
“Antara bantuan ialah RM2,000 kepada 10,861 ketua isi rumah miskin dan penerima Bantuan Am melibatkan peruntukan berjumlah RM21.7 juta, selain RM500 kepada 21,323 anak yatim, RM200 kepada 61,208 orang kurang upaya (OKU) serta RM200 kepada 79,822 ibu tunggal berdaftar di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).
“Kita turut menyediakan RM38.6 juta bagi membantu 193,166 suri rumah tidak bekerja, RM24.8 juta kepada 49,598 penggerak syiar Islam serta RM22.4 juta untuk 112,000 mahasiswa anak Johor termasuk pelajar tingkatan enam dan pra-universiti.
“Bantuan ini turut melibatkan 45,056 pemandu teksi, e-hailing dan p-hailing, selain 24,968 penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2027 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Tambah Onn Hafiz, BKJ turut melibatkan nelayan, pengusaha dan pemandu bas serta van sekolah, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pesara polis, pekerja sokongan, sukarelawan, penggiat industri pelancongan, pengusaha inap desa, pengamal media serta masyarakat Orang Asli.
“Setiap keluarga mempunyai tanggungan dan kesusahan masing-masing, walaupun bantuan ini tidak menyelesaikan semua masalah dihadapi tetapi kami berharap dapat meringankan beban dan memberi kelegaan kepada pihak memerlukan.
Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM122 juta bagi memperkukuh agenda perumahan menerusi inisiatif Perumahan Kasih Johor (PKJ) yang bakal memanfaatkan seramai 41,000 penerima.
“Menerusi inisiatif PKJ, Bantuan Beli Rumah Pertama sebanyak RM5,000 kepada 15,000 penerima diteruskan dengan peruntukan RM75 juta, manakala Bantuan Masuk Rumah Pertama sebanyak RM2,000 akan memanfaatkan 6,000 penerima dengan peruntukan RM12 juta.
“Selain itu, Bantuan Sewa Rumah sebanyak RM2,500 disediakan kepada 10,000 penerima melibatkan peruntukan RM25 juta manakala Bantuan Deposit Sewa Rumah sebanyak RM1,000 turut diperkenal sebagai inisiatif baharu yang bakal memanfaatkan 10,000 penerima dengan peruntukan RM10 juta,” katanya.-UTUSAN
The post Lebih RM263 juta laksana BKJ Fasa 5 dan 6 appeared first on Utusan Malaysia.





