Lebih Separuh Akaun WhatsApp Digantung Kerana Kesilapan Teknikal Meta

LocalTechnology
3 Oct 2026 • 3:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Lebih Separuh Akaun WhatsApp Digantung Kerana Kesilapan Teknikal Meta

KUALA LUMPUR - Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal yang menyebabkan aktiviti sah pada sesetengah akaun WhatsApp tersalah dikesan sebagai pelanggaran peraturan, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC berkata, pihaknya menerima penjelasan itu daripada Meta selepas merujuk aduan berhubung akaun WhatsApp yang digantung kepada syarikat berkenaan.

Menurut MCMC, Meta mendapati kesilapan teknikal terbabit berlaku dalam lebih separuh daripada kes yang dikemukakan suruhanjaya itu pada peringkat awal.

“Meta memaklumkan masalah itu telah diperbaiki menjelang penghujung September dan akaun sah yang terjejas telah dipulihkan secara proaktif, termasuk sebahagian akaun milik pengguna yang tidak mengemukakan rayuan.

“Meta turut mengesahkan tiada perubahan dibuat terhadap dasar penguatkuasaan atau Terma Perkhidmatan WhatsApp,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kes lain, Meta menjelaskan, penggantungan akaun boleh berlaku disebabkan beberapa faktor, termasuk penggunaan semula nombor telefon yang sebelum ini dikaitkan dengan akaun yang telah disekat, aktiviti spam atau penipuan serta corak penggunaan yang dikesan oleh sistem keselamatan WhatsApp.

MCMC berkata laporan daripada pengguna turut diambil kira, namun ia bukan satu-satunya asas untuk menggantung sesuatu akaun.

Dalam pada itu, Meta memaklumkan akaun perniagaan juga boleh ditandakan sebagai spam sekiranya mesej dihantar dalam jumlah besar tanpa persetujuan penerima, khususnya kepada individu yang tidak berada dalam senarai kenalan penghantar.

Sehubungan itu, perniagaan dinasihatkan mendapatkan persetujuan penerima terlebih dahulu sebelum menghantar mesej secara pukal.

MCMC berkata pihaknya turut meminta Meta menambah baik proses rayuan dan pemulihan akaun bagi memastikan pengguna terjejas menerima pengesahan yang lebih jelas, kemas kini mengenai status kes serta maklumat mengenai tindakan yang diambil.

Pengguna yang terjejas akibat penggantungan akaun dinasihatkan menggunakan saluran rayuan dan sokongan rasmi WhatsApp.

“MCMC akan terus memantau kes yang masih belum diselesaikan serta penambahbaikan yang dilaksanakan Meta bagi memastikan pengguna dapat memperoleh semula akses kepada akaun mereka.

“Sekiranya langkah yang diambil Meta didapati tidak mencukupi, tindakan kawal selia selanjutnya akan dipertimbangkan,” katanya. - Getaran, 3 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved