
PETALING JAYA – Penghantaran mesej secara pukal melalui WhatsApp boleh dikesan sebagai aktiviti spam dan menyebabkan akaun pengguna digantung.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, penyedia platform teknologi dan syarikat induk WhatsApp, Meta Platforms Inc (Meta) telah menjelaskan bahawa penghantaran mesej tanpa persetujuan atau dalam jumlah yang tinggi, khususnya kepada penerima yang bukan dalam senarai kenalan, boleh dikesan sebagai aktiviti spam.
Menurut MCMC, Meta memaklumkan penggantungan akaun boleh melibatkan beberapa faktor termasuk aktiviti spam atau penipuan serta corak penggunaan yang dikesan sistem keselamatan WhatsApp.
Selain itu, katanya, nombor telefon kitar semula yang pernah dikaitkan dengan akaun yang disekat juga boleh menjadi antara faktor yang dinilai.
“Laporan pengguna merupakan salah satu faktor yang dinilai dan bukan satu-satunya asas bagi tindakan penggantungan akaun,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Meta secara khusus mengingatkan pengguna perniagaan untuk mendapatkan persetujuan penerima terlebih dahulu sebelum menghantar mesej secara pukal.
Dalam pada itu, MCMC turut meminta Meta menambah baik proses rayuan dan pemulihan akaun supaya pengguna yang terjejas menerima pengesahan serta maklumat status semakan dan tindakan yang lebih jelas dan pantas.
“Pengguna yang berdepan penggantungan akaun disaran menggunakan saluran rayuan dan sokongan rasmi WhatsApp,” ujarnya.
MCMC berkata, pihaknya akan terus memantau penyelesaian kes yang masih tertunggak serta memastikan penambahbaikan dilaksanakan bagi memudahkan pengguna mendapatkan semula akaun.
“Tindakan kawal selia selanjutnya akan dipertimbangkan sekiranya langkah Meta didapati tidak memadai,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Spam’ mesej di WhatsApp, akaun boleh kena gantung appeared first on Kosmo Online.





