
PETALING JAYA – Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistemnya sehingga menyebabkan sebahagian pengguna WhatsApp yang sah, disalah anggap melanggar peraturan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, perkara itu dimaklumkan Meta kepada pihaknya berhubung isu penggantungan akaun WhatsApp yang sebelum ini dikemukakan kepada syarikat berkenaan.
Menurutnya, kesilapan teknikal dikenal pasti dalam lebih separuh daripada kes bagi kumpulan pertama yang dikemukakan MCMC kepada Meta.
“Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistemnya sehingga aktiviti pengguna yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
MCMC berkata, kesilapan berkenaan telah ditangani pada penghujung September lalu, manakala akaun sah yang terjejas telah dipulihkan secara proaktif oleh Meta.
Katanya, pemulihan itu turut melibatkan sebahagian akaun yang belum mengemukakan rayuan.
“Meta turut mengesahkan bahawa tiada perubahan dibuat terhadap dasar penguatkuasaan atau Terma Perkhidmatan WhatsApp,” katanya.
Terdahulu, Meta memohon tempoh sehingga 2 Oktober untuk mengemukakan maklum balas kepada MCMC berhubung isu akaun WhatsApp pengguna yang dilaporkan digantung, tidak lagi boleh diakses serta diceroboh tanpa kebenaran.
MCMC dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, pihaknya telah menuntut penjelasan terperinci daripada syarikat berkenaan selepas merekodkan sebanyak 92 aduan daripada pengguna yang terjejas setakat kelmarin. – KOSMO! ONLINE
The post Meta akui kesilapan teknikal jejas sebahagian akaun WhatsApp appeared first on Kosmo Online.





