liza11/09/2026 - 11:55 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Sept – Kenanga Research memulakan liputan terhadap Ambest Group Berhad dengan penarafan ‘Outperform’, berikutan syarikat pengeluar komponen berketepatan tinggi itu dijangka meraih manfaat daripada kitaran pertumbuhan baharu dalam industri peralatan pembuatan cip silikon (wafer) semikonduktor.
Firma penyelidikan itu berkata, lonjakan perbelanjaan pusat data susulan peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dijangka merancakkan permintaan terhadap peralatan semikonduktor, sekali gus membuka ruang kepada Ambest untuk meningkatkan sumbangan daripada segmen berkenaan.
“Dalam keadaan kitaran pertumbuhan ini terus berkembang, kami percaya masih terdapat ruang untuk peningkatan keuntungan Ambest.
“Lebih penting, pendedahan Ambest kepada peralatan pembuatan wafer dijangka meningkat dengan ketara yang akan mengukuhkan kedudukan syarikat untuk memanfaatkan pertumbuhan permintaan terhadap peralatan semikonduktor yang lebih bernilai tinggi dan kompleks,” kata Kenanga dalam nota kajiannya.
Kenanga mengunjurkan pendedahan Ambest kepada segmen peralatan pembuatan wafer meningkat kepada kira-kira 70% daripada hasil, berbanding 47% pada 2024.
Peningkatan tersebut menunjukkan Ambest semakin mempunyai kaitan langsung dengan pertumbuhan industri peralatan semikonduktor, sekali gus membuka peluang kepada kumpulan untuk mendapat manfaat daripada peningkatan perbelanjaan modal dalam sektor berkenaan.
“Keupayaan untuk membekalkan komponen kritikal kepada peralatan yang semakin kompleks akan membolehkan Ambest merebut sebahagian daripada pertumbuhan dalam rantaian nilai semikonduktor.
“Selain itu, Ambest turut dilihat sebagai antara syarikat yang boleh mendapat manfaat daripada perubahan struktur dalam rantaian bekalan semikonduktor global apabila lebih banyak aktiviti pengeluaran dan pembekalan beralih ke Asia Tenggara,” kata Kenanga.
Kedudukan dalam rantaian bekalan jadi kelebihan
Kenanga berkata, peluang daripada peralihan rantaian bekalan itu bagaimanapun lebih cenderung dinikmati oleh syarikat yang sudah mempunyai kelayakan dan hubungan kukuh dalam rantaian bekalan pengeluar peralatan semikonduktor.
Menurutnya, Ambest memenuhi kriteria tersebut, sekali gus meletakkan syarikat pada kedudukan yang baik untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan permintaan di rantau Asia Tenggara.
Firma penyelidikan itu menetapkan harga sasaran RM1.80 dengan penilaian tersebut mengambil kira prospek pertumbuhan struktur Ambest susulan kitaran menaik dalam industri peralatan pembuatan wafer.
Pada harga RM1.48 ketika laporan itu diterbitkan, Kenanga berkata Ambest masih didagangkan pada diskaun lebih 40% berbanding syarikat setara di Malaysia dan rantau ini.
Saham Ambest yang disenaraikan pada Februari 2026 telah meningkat hampir 500% sejak penyenaraian, menjadikan permodalan pasaran syarikat sekitar RM755 juta pada harga RM1.48.
Ambest merupakan pengeluar komponen berketepatan tinggi yang membekalkan bahagian penting kepada pengeluar peralatan semikonduktor.
Selain Kenanga, Tradeview Research merupakan satu-satunya firma penyelidikan lain yang kini meliputi Ambest, dengan penarafan “Beli” dan harga sasaran RM1.60. - DagangNews.com



