amree17/08/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Ogos – Critical Holdings Berhad berada di fasa perubahan penting apabila berjaya meraih kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM772.5 juta.
Menurut MBSB Research, situasi itu meningkatkan buku tempahannya kepada kira-kira RM1.06 bilion, namun kemampuan melaksanakan projek berskala besar menjadi cabaran utama yang perlu ditanganinya.
Justeru, firma itu memulakan liputan terhadap kumpulan tersebut dengan saranan 'beli' dan menilai perubahan struktur pendapatan dan profil perniagaan kumpulan wajar diberi penilaian lebih tinggi.
"Kami mendapati Critical Holdings dalam fasa perubahan sebagai pemain EPCC berbanding sejarahnya sebagai kontraktor khusus mekanikal, elektrikal dan perpaipan (MEP)," jelasnya dalam nota analisis.
Selain itu, MBSB Research menetapkan harga sasaran (TP) RM2.94, berdasarkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) FY28 sebanyak 17.6 sen dinilai pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) 16.7 kali.
Kontrak EPCC bernilai RM772.5 juta yang diraihnya pada Jun 2026 menjadi pemangkin utama mengubah skala syarikat itu, dengan buku tempahan semasa bersamaan kira-kira 1.4 kali unjuran hasil FY2027.

Buku tempahan itu juga hampir menyamai permodalan pasaran Critical Holdings ketika ini sebanyak RM784.4 juta, sekali gus memberikan keterlihatan hasil kukuh bagi tempoh dua tahun akan datang.
"Kami menjangka FY27 mencatat hasil tiga kali ganda kepada RM758 juta, didorong peningkatan projek bilik bersih bernilai RM152.6 juta dan kontrak EPCC industri RM772.5 juta," kata MBSB Research.
Seiring pertumbuhan pendapatan tersebut ujarnya, keuntungan teras kumpulan dijangka melonjak 2.7 kali ganda kepada RM59 juta pada FY27, berbanding hanya RM22.1 juta yang dianggarkan bagi FY26.
Firma itu berkata Critical Holdings sedang bergerak naik dalam rantaian EPCC daripada melaksanakan pakej MEP kepada mengambil tanggungjawab lebih menyeluruh, dengan membida kontrak bernilai tinggi.
Dari sudut kapasiti, pertumbuhan syarikat bergantung kepada keupayaan kejuruteraan dan pengurusan projek berbanding aset fizikal, membolehkannya berkembang menerusi penambahan tenaga teknikal.
"Kami turut melihat kedudukan kewangan sebagai kekuatan penting dengan RM84.4 juta tunai bersih dan kunci kira-kira tanpa hutang, memberikan ruang modal kerja bagi projek EPCC lebih besar," katanya.
Situasi itu jelas MBSB Research, membolehkan Critical Holdings membiayai dana berkaitan projek tanpa memberi tekanan berlebihan kepada kedudukan kewangan kumpulan. - DagangNews.com






