Peningkatan pegangan dalam ES Sunlogy buka peluang Kerjaya Prospek teroka sektor M&E, pusat data - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 11:01 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peningkatan pegangan dalam ES Sunlogy buka peluang Kerjaya Prospek teroka sektor M&E, pusat data - Penganalisis Image from: Peningkatan pegangan dalam ES Sunlogy buka peluang Kerjaya Prospek teroka sektor M&E, pusat data - Penganalisis liza17/08/2026 - 11:01 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Langkah Kerjaya Prospek Group Berhad memperkukuh kedudukannya dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) menerusi pelaburan dalam ES Sunlogy Berhad (Sunlogy) mendapat pandangan positif dari penganalisis.

 

Peningkatan pegangan Kerjaya Prospek dalam Sunlogy dilihat sebagai langkah strategik yang boleh membuka lebih banyak peluang dalam M&E, tenaga boleh baharu, projek pusat data dan infrastruktur grid Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Baru-baru ini, Kerjaya Prospek meningkatkan pegangan dalam Sunlogy sebanyak 19.18% kepada 28.27% melalui pemerolehan saham bernilai RM40.2 juta yang menjadikannya pemegang saham terbesar Sunlogy.

 

Saham itu diperoleh pada harga purata RM0.272 sesaham, iaitu kira-kira 28.4% lebih rendah berbanding harga penutup Sunlogy RM0.38 pada 13 Ogos 2026.

 

Langkah itu menyusul langganan terbitan persendirian Sunlogy bernilai RM18.8 juta oleh Kerjaya pada Julai lalu, menjadikan jumlah pelaburan kumpulan itu dalam Sunlogy setakat ini kira-kira RM58.3 juta. 

 

Penganalisis berpendapat gabungan kekuatan pembinaan Kerjaya dengan kepakaran M&E Sunlogy berpotensi membolehkan kumpulan mengambil bahagian dalam projek lebih besar dan kompleks tanpa perlu membangunkan kepakaran itu dari awal.

 

TA Securities Lihat Sinergi Lebih Besar

TA Securities menyifatkan pelaburan tambahan dalam Sunlogy sebagai positif kerana ia boleh membantu Kerjaya mempelbagaikan perniagaan di luar pembinaan bangunan dan mendapatkan pendedahan lebih besar kepada peluang M&E bernilai tinggi.

 

Firma itu berkata kepakaran pembinaan Kerjaya boleh melengkapi kepakaran Sunlogy dalam M&E dan tenaga boleh baharu, sekali gus membolehkan Kerjaya merebut peluang lebih besar daripada keseluruhan nilai sesuatu projek.

 

TA Securities turut melihat peluang dalam kerja M&E berkaitan pusat data dan infrastruktur grid TNB, selain menyifatkan kerjasama itu sebagai laluan penting untuk Kerjaya memasuki projek lebih besar tanpa perlu membina keupayaan M&E dari peringkat awal.

 

Dengan pegangan 28.27%, TA Securities kini mengklasifikasikan Sunlogy sebagai syarikat bersekutu Kerjaya dan memasukkan bahagian keuntungan Sunlogy ke dalam unjuran kewangan kumpulan. 

 

Susulan itu, unjuran keuntungan Kerjaya bagi FY2026 hingga FY2028 dinaikkan masing-masing 1.5%, 1.7% dan 1.8%, dengan keuntungan bersih diunjurkan RM257.1 juta, RM271.4 juta dan RM318.2 juta.

 

Firma itu menaikkan harga sasaran Kerjaya kepada RM3.63 sesaham daripada RM3.17 berdasarkan 16 kali nisbah harga kepada keuntungan (PER) CY2027, termasuk premium ESG 3%, dan mengekalkan saranan ‘Beli’. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerjaya Prospek tambah pegangan ES Sunlogy kepada 28.27% menerusi pembelian RM40.18 juta

 

“Kami menyukai Kerjaya kerana keterlihatan pendapatan yang kukuh, pengisian semula buku tempahan yang konsisten serta potensi pertumbuhan pembinaan hartanah industri menerusi kerjasama dengan Samsung.

 

“Kerjaya juga telah memperoleh 10 kontrak baharu bernilai keseluruhan RM2.3723 bilion bagi FY2026 setakat ini, termasuk projek bernilai RM52.5 juta bagi kerja awam, struktur dan M&E asas voltan rendah untuk stesen pengguna 275kV pusat data,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.

 

RHB Research: Sunlogy Sudah Buktikan Keupayaan

Sementara itu, RHB Research juga mengekalkan saranan ‘Beli’ dengan harga sasaran RM3.41 sesaham, bersamaan potensi pulangan sekitar 25% berdasarkan harga pasaran RM2.73.

 

RHB Research melihat Kerjaya semakin serius dalam segmen M&E, dengan Sunlogy sudah menunjukkan keupayaan mendapatkan kontrak sebenar dalam bidang berkenaan sepanjang 2026.

 

Antaranya, Sunlogy memperoleh kontrak RM107.5 juta daripada China State Construction Engineering (M) bagi membekal, menghantar dan memasang utiliti luaran termasuk sistem voltan tinggi (HV), voltan sederhana (MV), voltan rendah (LV), voltan sangat rendah (ELV) dan saluran telekomunikasi, selain kerja elektrik bagi bangunan utama pusat data. 

 

Sunlogy turut memperoleh kontrak RM12.7 juta daripada TNB untuk membangunkan pencawang masuk utama 275/33kV di Lembah Beringin, Selangor.

 

Selain itu, ia memenangi kontrak RM39.5 juta bagi kerja elektrik termasuk bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) dan ELV di Jurong Pioneer Junior College, Singapura, serta kontrak RM13.7 juta dan RM9.3 juta bagi kerja elektrik projek di Singapura.  

 

“Kami mengunjurkan pendapatan Kerjaya meningkat kepada RM2.453 bilion pada FY2026, RM2.742 bilion pada FY2027 dan RM2.957 bilion pada FY2028, manakala keuntungan bersih masing-masing diunjurkan RM257 juta, RM285 juta dan RM309 juta. 

 

“Kami turut menjangka margin keuntungan kasar Kerjaya meningkat daripada 15.7% pada FY2025 kepada 19.2% pada FY2026 dan 19.8% pada FY2028,” katanya. 

 

Dalam penilaiannya, RHB menggunakan kaedah jumlah bahagian (SOP) yang menggabungkan penilaian segmen pembinaan, hartanah dan pembuatan, selain memberikan premium ESG 2%, untuk menghasilkan harga sasaran RM3.41 sesaham.  

 

Secara keseluruhan, kedua-dua firma penyelidikan itu melihat penglibatan lebih besar Kerjaya dalam M&E melalui Sunlogy sebagai pemacu pertumbuhan baharu, khususnya dalam projek pusat data dan infrastruktur elektrik. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved