Lee Swee Kiat sasar pasaran Melayu rangsang pertumbuhan jualan – RHB Investment

Business & Finance
13 Jun 2023 • 10:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lee Swee Kiat sasar pasaran Melayu rangsang pertumbuhan jualan – RHB Investment

diyana

13/06/2023 - 10:21

KUALA LUMPUR 13 Jun - Lee Swee Kiat Group Berhad merangsang pertumbuhan jualan dengan memanfaatkan pasaran yang belum diterokai, kata RHB Investment.

Firma penyelidikan itu berkata pengurusan kumpulan telah melantik selebriti Diana Danielle, kedua selepas Amber Chia, sebagai duta jenama baru-baru ini untuk meningkatkan kesedaran jenama dalam kalangan pasaran Melayu.

Terdahulu, sejumlah 80% daripada pelanggannya sebelum tahun kewangan 2020 (FY20) terdiri daripada orang Cina tempatan.

Kumpulan itu mula bekerjasama dengan Cuckoo Malaysia (Cuckoo) pada 2021 untuk model sewa-untuk-beli bagi kemampuan pelanggan dan meneroka pasaran Melayu tempatan yang luas, menyaksikan peningkatan jualan daripada 7,000 unit yang dijual pada FY21 kepada 12,000 unit pada FY22.

“Melangkah ke hadapan, Lee Swee Kiat menyasarkan untuk menjual 20,000 unit pada FY23. Kami menjangkakan margin keuntungan jualan Cuckoo yang lebih tinggi disebabkan piawaian perakaunan kos akruan, di mana kos produk hanya dicaj pada tahun pertama selepas penghantarannya,” katanya dalam nota hari ini.

Firma itu berpendapat bahawa Lee Swee Kiat mendapat manfaat daripada pertumbuhan kukuh dalam permintaan untuk tilam berkualiti tinggi, berpunca daripada peningkatan penyiapan projek dan pelancaran hartanah domestik serta menyasarkan pasaran Melayu dan Cina tempatan.

Di samping itu, kumpulan itu diiktiraf sebagai pengilang lateks asli tanpa anilina yang pertama dan satu-satunya di dunia oleh Malaysia Book of Records pada 2019 apabila mereka berjaya menggunakan agen pembentuk gel gred makanan sebagai pengganti aniline untuk mengelakkan potensi risiko kesihatan.

Oleh itu, firma tersebut melihat komitmen kumpulan itu terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai kelebihan daya saingnya berbanding rakan serantau.

Menurut RHB Investment, permintaan terpendam untuk perabot baharu, termasuk tilam, sepatutnya lebih kukuh, berikutan kadar penyiapan projek hartanah yang lebih tinggi selepas COVID-19.

“Kami juga mendapati peningkatan dalam bilangan pelancaran projek hartanah daripada pemaju, ditambah dengan pengurangan bekalan tidak terjual. Ini memberi petanda baik untuk industri perabot dan kelengkapan pada tahun-tahun akan datang,” tambahnya.

RHB Investment tidak memberi sebarang saranan namun meletakkan nilai saksama (FV) sebanyak RM1.25 sesaham.

Pada masa penulisan, saham Lee Swee Kiat kekal pada harga pembukaan 75 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM125.9 juta. -DagangNews.com