Legion Gaming Phone Baharu Akan Dilancarkan Di China Tidak Lama Lagi

TechnologyGaming
12 May 2026 • 3:33 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Lenovo, jenama perkomputeran terkemuka yang kini berpengkalan di China dilaporkan akan memperkenalkan semula jenama peranti pintar gaming mereka, iaitu Legion Phone beberapa tahun lalu yang sayangnya pada waktu tersebut tidak begitu popular kerana sarat dengan penawaran oleh jenama-jenama lain yang lebih popular seperti Black Shark, ROG Phone, Red Magic dan sebagainya.

Terkini, beberapa laporan di internet telah melaporkan bahawa siri peranti pintar gaming tersebut akan dihidupkan kembali melalui model Lenovo Legion Y70 2026 setelah empat tahun sejak siri peranti pintar tersebut diperkenalkan.

Image from: Legion Gaming Phone Baharu Akan Dilancarkan Di China Tidak Lama Lagi

Legion Y70 2026 dilaporkan akan diperkenalkan pada 19 Mei 2026 di pasaran China terlebih dahulu, dan sejumlah ciri-ciri penting peranti pintar tersebut nampaknya telah diperlihatkan sebelum pelancaran tidak lama lagi.

Pertama ialah penggunaan paparan skrin BOE Q10 dengan saiz 6.82 inci dan resolusi 2K dengan kadar segar-semula 144Hz dan nilai kecerahan maksima 7000 nits. Kedua ialah peranti ini akan dikuasakan cip Qualcomm Snapdragon 8 Gen5 (bukan model Elite), memori LPDDR5X “Ultra” dan storan UFS 4.1 yang terpantas di pasaran buat masa ini.

Image from: Legion Gaming Phone Baharu Akan Dilancarkan Di China Tidak Lama Lagi

Dari aspek kamera pula, Legion Y70 2026 hadir dengan sistem kamera tiga lensa yang menggunakan sensor Sony LYT-710 50MP sebagai sensor utama, kamera ultra-lebar 8MP dan satu lagi sensor 2-dalam-1 untuk mengurangkan kerlipan dan pendedahan cahaya yang berlebihan. Kamera bahagian hadapan pula menggunakan sensor 32MP.

Ia juga dimuatkan dengan bateri bersaiz 8000mAH yang mana gambar promosi menjanjikan jangka hayat gaming selama 19.3 jam. Untuk menyejukkan peranti ini, ia juga dimuatkan dengan sistem penyejukan yang terdiri daripada kebuk wap dan juga gel haba untuk mengalirkan haba khususnya dari komponen SoC dengan cekap.

Melihat pada gambar promosi, Lenovo Legion Y70 2026 dijangka hadir dengan sekurang-kurangnya dua penawaran warna, dimana salah satu daripadanya ialah warna putih. Konfigurasi memori dan storan juga belum diketahui lagi, tetapi laman JD di China mengesahkan konfigurasi memori 12GB dan storan 256GB akan ditawarkan.