
ALOR SETAR – Dua pemuda yang leka menguji prestasi motosikal masing-masing dengan berlumba haram di Jalan Padang Garam, Kuala Kedah dekat sini membawa padah apabila mereka dicekup polis dalam Operasi Cegah Samseng Jalanan pada kelmarin.
Mereka yang berusia 20 dan 22 tahun itu didapati mula berlumba menggunakan motosikal jenis Yamaha LC135 dan Yamaha Y15Z kira-kira pukul 6 petang sambil disaksikan ratusan penonton.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, dua individu yang masing-masing merupakan penganggur dan kelindan lori itu diberkas dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 4 petang hingga 11 malam.
Katanya, operasi bersepadu tersebut melibatkan 47 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar susulan aduan penduduk yang resah dengan kegiatan lumba haram oleh sekumpulan anak muda di kawasan berkenaan.
“Kita percaya kawasan itu dijadikan ‘port’ untuk berlumba sejak kira-kira tiga minggu lalu berikutan jalan di situ dalam keadaan baik serta laluan lurus sejauh tiga kilometer.
“Dua pemuda terbabit terus ditahan sebaik berlumba pada kelajuan dipercayai melebihi 100 kilometer per jam. Mereka ini dipercayai berlumba suka-suka tanpa melibatkan pertaruhan,” katanya pada sidang akhbar di BSPT IPD Kota Setar, di sini hari ini.
Menurutnya, motosikal berkenaan didapati telah diubah suai daripada spesifikasi asal, antaranya menggunakan tayar lebih kecil serta struktur motosikal yang dipanjangkan dan direndahkan, dipercayai antara ciri motosikal yang digunakan untuk perlumbaan.
Beliau berkata, salah seorang suspek didapati pernah ditahan pada Mei lalu di Seberang Perai, Pulau Pinang atas kesalahan pengubahsuaian motosikal.
Kedua-dua individu terbabit direman selama sehari pada semalam dengan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, kata beliau, pihaknya dalam operasi tersebut memeriksa sebanyak 272 motosikal membabitkan 247 individu dan hasil pemeriksaan, sebanyak 213 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Tambahnya, sebanyak 25 motosikal turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan trafik, termasuk pengubahsuaian struktur dan spesifikasi asal kenderaan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan. – KOSMO! ONLINE
The post Leka uji prestasi motosikal, dua pemuda dicekup berlumba haram appeared first on Kosmo Digital.






