
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 62 tahun didenda RM3,800 atau dipenjara selama lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat kerana memiliki jam tangan Luminox kepunyaan lelaki lain.
Muhamad Rafiq Saman Abdullah mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan memiliki harta curi iaitu jam tangan Luminox berwarna perak milik Chin Lam Thin, pada 20 Feb tahun lalu di rumahnya di Taman Prestij, Jalan Tuaran, sekitar jam 3.56 petang.
Pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta boleh dikenakan denda, jika disabit kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Yousof Tahir Mahmood bahawa Chin mendapati rumahnya telah dipecah masuk oleh individu tidak dikenali dan menyedari beberapa barangan miliknya hilang.
Seorang suspek ditahan susulan laporan itu dan rampasan di Luyang semasa siasatan dijalankan oleh Inspektor Hamidi berhubung kes serupa pada 12 Mac tahun lalu.
Hasil rampasan menemukan tali jam tangan Luminox berwarna perak milik Chin.
Rafiq Saman kemudiannya ditangkap di kawasan lokap pusat Kepayan pada 28 Mac tahun lalu kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan.
Tidak diwakili di mahkamah, Rafiq Saman merayu hukuman ringan. Namun, Timbalan Pendakwa Raya Yousof Tahir memohon hukuman pencegahan.
Mahkamah turut memerintahkan jam tangan Luminox itu dikembalikan kepada pemilik asalnya.



