Lelaki Alihkan Besi Tengah Lebuh Raya Raih Pujian, Ramai Titip Doa [Video]

25 Jun 2025 • 5:59 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sudah menjadi kewajipan buat semua pemandu mahupun penunggang motosikal untuk sentiasa menjaga keselamatan diri dan peka dengan keadaan sekeliling.

Ini kerana kemalangan tidak hanya boleh berlaku disebabkan kecuaian diri sendiri namun ia juga disebabkan faktor luar seperti cuaca, masalah teknikal, atau objek asing di atas jalan raya dan banyak lagi.

Oleh itu, sekiranya pernah terlihat perkara yang boleh mengundang kepada kemalangan adalah besar pahalanya jika seseorang dapat membantu untuk mengalihkan barangan tersebut.

Lelaki bantu alihkan muatan di jalan raya raih perhatian

Baru-baru ini seorang lelaki turut melakukan tindakan sama apabila bertindak mengalihkan satu muatan yang dilihat seperti besi terjatuh di Lebuhraya Shah Alam Expressway (Kesas).

Menerusi video yang dikongsikan oleh Ros Hidayah di TikTok, awalnya kelihatan seorang lelaki telah berlari anak ke lorong tengah untuk mengambil besi berkenaan.

Ada lori dan motosikal turut berhenti cuba permudahkan lelaki alihkan besi

Meskipun lebuh raya kelihatan sibuk namun terdapat sebuah motosikal dan juga sebuah lori yang memberhentikan kenderaan untuk menghalang kenderaan lain dari menggunakan lorong itu.

Perkara itu secara tidak langsung dapat membantu lelaki berkenaan mengambil muatan tersebut ke lorong kecemasan sebelum membalingnya ke kawasan rumput di sebelah palang jalan.

Sebaik sahaja selesai mengalihkan muatan itu, kelihatan dia terus berjalan menuju ke kenderaaanya sambil mengangkat tangan tanda terima kasih kepada pemandu lori kerana sudah membantunya.

“Baiknya abang ni, semoga sentiasa dilindungi ya,” kata Ros selepas melihat tindakan lelaki berkenaan.

Sewaktu ditanya muatan apakah yang terjatuh itu, Ros mengesahkan ia adalah besi ampaian baju.

Di ruangan komen Ros turut meminta orang ramai untuk bantu mengalihkan barangan sekiranya ada muatan atau sebarang benda di atas jalan.

Ini kerana situasi tersebut adalah berbahaya dan boleh mengundang kepada kemalangan jalan raya.

Ramai doakan agar lelaki tersebut sentiasa dalam lindungan Allah SWT

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mendoakan kesejahteraan lelaki berkenaan dan segala kebaikan diberikan oleh Allah SWT.

Bukan hanya itu ada juga mengatakan tindakan lelaki tersebut juga sebagai salah satu sedekah selain boleh dijadikan sebagai contoh kepada mereka yang melihat.

@ros_hidayah kalau rasa ada barang muatan yg tercicir berenti la tolong ambil semula, bahaya utk pengguna jalan raya yg lain #kesashighway ♬ Setanggi Syurga – In Team

Alihkan halangan adalah salah satu sedekah

Menurut Maktabah al-Bakri, tindakan seperti membuang sebarang perkara yang boleh menyakiti orang lain di atas jalan raya adalah salah satu perbuatan serendah-rendah iman.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَقَدْ رَأَيْتُ رَجُلًا يَتَقَلَّبُ فِي الْجَنَّةِ، فِي شَجَرَةٍ قَطَعَهَا مِنْ ظَهْرِ الطَّرِيقِ، كَانَتْ تُؤْذِي النَّاسَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki bermundar-mandir di dalam Syurga, (dia masuk ke dalam Syurga) atas perbuatan baiknya iaitu memotong sepohon pokok yang berada di tengah-tengah jalan, yang sejak lama menganggu orang ramai yang lalu-lalang di situ.” [Riwayat Muslim (1914)]

Menerusi hadis itu, agama Islam itu mengajar umatnya untuk sentiasa melakukan kebaikan dalam apa jua situasi dan keadaan yang boleh memberikan manfaat kepada individu lain.

Bukan hanya itu, perbuatan baik itu turut dianggap sebagai salah satu bentuk sedekah disebabkan menjauhkan sebarang kemudaratan kepada orang ramai.

Berikut adalah komen netizen:

“Salah satu konsep sedekah, moga asbab ke syurga”

image is not available

“Tengok macam ni pun dah nangis”

image is not available

“Lori siap backup abang tu, terima kasih kami menjadi saksi atas kebaikan abang”

image is not available

Source: