
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 24 tahun yang didakwa atas dua pertuduhan merogol adiknya dan melakukan seks luar tabii terhadapnya, akan mengetahui nasibnya pada 28 Apr tahun ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menetapkan tarikh itu bagi tertuduh selepas pihak pembelaan selesai memanggil semula beberapa saksi daripada pihak pembelaan dan pendakwaan kerana pertuduhan terhadapnya telah dipinda.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan balas pada atau sebelum 4 Apr dan jawapan pada atau sebelum 11 Apr tahun ini.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol adik perempuannya yang berusia 10 tahun di sebuah rumah di Kota Marudu pada 2017.
Kesalahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara lapan tahun dan 30 tahun, dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan kemaluannya ke dalam dubur adiknya itu di tempat dan pada masa yang sama. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377A/377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan telah memanggil tujuh saksi semasa perbicaraan di peringkat pendakwaan manakala sembilan saksi telah memberi keterangan di peringkat pembelaan.
Lelaki itu dipanggil membela diri pada 20 April 2022 selepas mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap lelaki itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mas Izzaty Lokman manakala tertuduh yang dilepaskan dengan jaminan, diwakili peguam Datuk Joseph @ Bernard Dalinting.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

