Lelaki Bergelut Dengan MBPJ Halang Tangkap Anjing Liar Bakal Didakwa Esok

Entertainment
30 Mar 2023 • 9:43 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang lelaki warga emas yang bergelut dengan pegawai Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) dalam satu video tular baru-baru ini bakal didakwa pada Jumaat ini, menurut ACP Fakhrudin Abdul Hamid.

Menurut laporan, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya itu mengesahkan pertuduhan akan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Tambahnya lagi, kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dan mereka memaklumkan bahawa lelaki itu akan didakwa Jumaat ini.

image is not available

Terdahulu, Harian Metro melaporkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka keatas pelaku tersebut setelah pegawai MBPJ yang terlibat dalam insiden penangkapan anjing tersebut membuat laporan polis.

Dalam insiden yang berlaku di Taman Kanagapuram, Petaling Jaya pada 23 Mac tersebut, pelaku mendakwa dirinya dikasari pegawai MBPJ ketika operasi penangkapan anjing liar dilakukan di kawasan tersebut.

image is not available

Menerusi video yang tular di media sosial, kelihatan lelaki tersebut telah membenarkan beberapa ekor anjing untuk masuk menyelamatkan diri di dalam premis sebelum lehernya tersangkut dengan tiang tangkap yang digunakan seorang yang didakwa penguatkuasa MBPJ.

Perkongsian video tersebut mula tular di Facebook apabila ada individu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap MBPJ kerana mendakwa ada kakitangan daripada badan penguatkuasa itu yang mengasari seorang lelaki warga emas dan bersikap kasar dengan anjing yang cuba ditangkap.

Menurut Akta 574, Kanun Keseksaan, sesiapa yang menghalang tugas mana-mana penjawat awam dalam menjalankan fungsi awamnya, hendaklah dihukum penjara selama tempoh yang boleh sehingga dua tahun atau denda sehingga sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.