Lelaki cedera ditembak dua lelaki di Bidor

30 Sep 2026 • 12:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lelaki cedera ditembak dua lelaki di Bidor

TAPAH – Seorang lelaki cedera setelah ditembak dua suspek di stesen minyak BHP di Bidor Sentral di Bidor di sini kira-kira pukul 6.08 petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun tiba di stesen minyak tersebut dengan menaiki Toyota Land Cruiser untuk mengisi minyak.

“Hasil siasatan awal mendapati sebuah Honda City berwarna hitam telah datang dari arah pekan Bidor dan berhenti di hadapan kenderaan mangsa.

“Dua lelaki yang dipercayai bersenjatakan senjata api kemudian keluar dari kenderaan berkenaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan mangsa sebelum melarikan diri,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan terkena satu das tembakan di bahagian bahu kiri.

Mohd. Alwi berkata, sewaktu kejadian, terdapat lima individu di dalam kenderaan mangsa, namun kesemua mereka tidak mengalami kecederaan.

Katanya, mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Tapah sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, dengan keadaan dia dilaporkan stabil.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian oleh pasukan forensik telah menemukan satu peluru 9 mililiter (mm) Luger, empat kelongsong peluru 9mm Luger serta serpihan anak peluru.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan mangsa turut menemukan beberapa serpihan anak peluru dan kesan tembakan pada bahagian kenderaan,” katanya.

Mohd. Alwi berkata, siasatan awal mendapati kejadian melibatkan penggunaan senjata api dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.

“Pasukan penyiasat sedang menjalankan semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi berkaitan, termasuk laluan sekitar Bidor serta plaza tol yang dikenal pasti.

“Pemeriksaan dan analisis barang kes berkaitan juga sedang dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Polis Perak orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis.

“Polis memandang serius kejadian melibatkan penggunaan senjata api dan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Lelaki cedera ditembak dua lelaki di Bidor appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved